2021

2021
DARURAT COVID-19

SANDIWARA MERDEKA (II)

Khamis, September 22, 2011

| | |
(Sumber: Utusan Online.)

[Catatan terdahulu: SANDIWARA MERDEKA.]

Pelakon utama Sandiwara Merdeka, Mohamad Sabu, bukan sahaja berjaya memukau penonton pelbagai aras intelek, malah berjaya mengheret Kerajaan Malaysia ke pentas untuk memeriahkan sandiwaranya. Watak Kerajaan dipikul oleh peguam-peguam daripada Jabatan Peguam Negara.

Inilah babak pertama (gambar di atas dan lakonan seperti dilaporkan oleh Utusan Online):

BUTTERWORTH 21 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin, Mohamad didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis, Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam peristiwa tersebut, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mohamad yang berbaju T hijau, berseluar hitam dan berjaket biru kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan mengangguk tanda faham atas pertuduhan tersebut.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Mohamad Hanafiah Zakaria bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Suhaimi Ibrahim manakala Mohamad diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli.

Mohamad Hanafiah memohon agar Mohamad diikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan namun jumlah itu dibantah oleh Mohamed Hanipa yang menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes sementara perbicaraan dijadualkan dari 5 hingga 9 Disember depan.

Mohamad dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin pada pukul 12 tengah hari.

Wajar dicatatkan bahawa dalam babak intro sandiwara ini, Mohamad Sabu melakonkan watak 'jahat'. Beliau menjatuhkan darjat anggota polis yang terkorban dalam tragedi Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Tohmahan beliau ialah anggota polis tersebut mempertahankan penjajah Inggeris daripada serangan pengganas komunis yang beliau angkat sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Kata kunci dalam babak intro yang menyeret Kerajaan ke pentas sandiwara ini ialah TOHMAHAN.

Maksud tohmahan mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu:

(i) Anggapan bu­­­ruk terhadap sesuatu sebelum me­ngetahui hal yg sebenarnya.

(ii) Tuduhan yg berdasarkan syak wasangka, tuduhan yg melulu.

Bentuk tohmahan ialah kata-kata yang diungkap atau ditulis. Ungkapan dan tulisan memang boleh melukakan hati dan perasaan tetapi tidak boleh mencederakan atau merosakkan apa-apa makhluk secara fizikal.

Tohmahan - sama ada berbentuk ungkapan atau tulisan - terbit daripada akal pemikiran dan jiwa pengungkapnya. Orang yang menohmah memiliki dua sifat utama - akal pemikiran yang bebas dan jiwa yang berani.

Nah, sekarang kata kuncinya ialah KEBEBASAN dan KEBERANIAN. Kata kunci inilah yang menjadi tema babak pertama Sandiwara Merdeka. Plotnya bukan sahaja berkembang dengan baik, malah bertukar rentak. Watak jahat menjelma sebagai hero, tampil watak baharu sebagai 'penjahat'.

Hero dalam babak pertama ini ialah Mohamad Sabu yang bebas dan berani. Bebas berfikir dan bersuara. Berani mempertahankan kebebasan berfikir dan bersuara. (Inilah tema dan inti pati perutusan Perdana Menteri sempena Hari Malaysia pada 16 September 2011.)

Penjahatnya pula ialah Kerajaan yang tampil dengan senjata Seksyen 500 Kanun Keseksaan untuk mengurung hero Mohamad Sabu dalam penjara atau memaksanya membayar denda atau kedua-duanya sekali kerana bebas berfikir dan berani bersuara. Watak penjahat ini ialah antikebebasan berfikir, antikebebasan bersuara dan antikeberanian.

Demikian bijaksana perancang dan penggubah Sandiwara Merdeka. Maksud perancang dan niat penggubah sandiwara ini ialah mempamerkan kepada rakyat yang akan mengundi dalam pilihanraya akan datang bahawa Kerajaan hari ini dipimpin oleh parti (Barisan Nasional) yang antikebebasan dan antikeberanian. Mereka berjaya!

Babak pertama ini membolehkan perancang dan penggubah sandiwara, serta Mohamad Sabu, mementaskan babak kedua ke seluruh pelusuk tanah air. Khutbah Jumaat, ceramah, forum, tazkirah, sembahyang hajat, majlis makan malam dan majlis minum petang yang sarat dengan momokan membenci Kerajaan dan propaganda menawan Putrajaya.

Momokan dan propaganda tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mengajak mereka mengisi pelbagai tabung atas nama jihad. (Ingat: Seseorang yang menyumbang kepada tabung tersebut, walaupun sekupang, akan kekal sebagai penyokong tegar dan sanggup mati mempertahankan keyakinan mereka!)

Cerdik pandai dalam Kerajaan sepatutnya menasihatkan Perdana Menteri seperti berikut:

[Al-Quran 3:111] Mereka sekali-kali tidak akan dapat memudharatkan kamu, selain daripada gangguan-gangguan celaan saja. Jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka tewas dan melarikan diri. Mereka tidak mendapat pertolongan.
[Al-Quran 33:48] Dan janganlah kamu menuruti orang yang kafir dan orang munafik. Janganlah kamu hiraukan gangguan mereka. Bertawakallah kepada Allah. Cukuplah Allah sebagai pelindung.
Justeru tohmahan terbit daripada akal pemikiran, maka hadapilah tohmahan dengan akal pemikiran yang lebih mantap dan bernas. Justeru tohmahan terbit daripada jiwa yang berani, maka hadapilah dengan keberanian yang lebih bijak dan berasaskan kebenaran.

(Sumber: Blog Galeri PDRM.)

Persoalan besar:

Mengapakah pihak yang sebenar-benarnya terluka hati dan perasaan serta tercemar maruah - keluarga dan waris polis yang terkorban - tidak tampil mendakwa Mohamad Sabu dan menuntut ganti rugi sebilion ringgit?