2021

2021
DARURAT COVID-19

LOGIK CIKGU WILLIAM GHANI BINA

Rabu, September 21, 2011

| | |

[Gambar hiasan. Sumber: Teo-Education.Com]
“No matter how good the teachers are, if the students are bad, the exam results will be bad,”
William Ghani Bina, Presiden Sarawak Teachers' Union.
Kenyataan di atas dipetik daripada thestar online 21/9/2011 (artikel penuh di sini). Presiden kesatuan guru itu dilaporkan berkata demikian ketika mengulas peristiwa murid dihalang oleh sekolah daripada menduduki peperiksaan Ujian Sekolah Rendah. Berita mengenainya di sini.

Dalam Bahasa Malaysia, kenyataan Cikgu William Ghani Bina tersebut bermaksud kira-kira:

"Betapapun bagus cikgu, jika murid bodoh, keputusan peperiksaan tetap buruk."
Jika benarlah Cikgu William Ghani Bina berkata demikian dan jika kenyataan tersebut benar, maka kenyataan berikut juga benar:

"No matter how bad the teachers are, if the students are good, the exam results will be good."
"Betapapun bodoh cikgu, jika murid bagus, keputusan peperiksaan tetap bagus."

Kenyataan tersebut, jika benar, bermakna cikgu tidak diperlukan dalam menentukan keputusan peperiksaan. Faktor penentu keputusan peperiksaan ialah murid.

Demikian juga, jika keputusan peperiksaan menunjukkan pencapaian murid dalam persekolahan, maka keputusan peperiksaan yang bagus menunjukkan kejayaan murid dalam persekolahannya.

Oleh sebab keputusan peperiksaan ditentukan oleh murid, maka keputusan peperiksaan yang bagus menunjukkan kejayaan murid. Murid yang berjaya dalam semua peperiksaan akan menjadi orang dewasa yang berjaya.

[Orang dewasa yang berjaya, Cikgu William Ghani Bina, Presiden Sarawak Teachers' Union. Sumber: Sarawak Teachers' Union.]

Ini juga bermakna kejayaan William Ghani Bina dalam persekolahan beliau, sehingga layak menjadi cikgu dan dipilih mengetuai persatuan cikgu, bukan kerana kebagusan cikgu yang mendidik beliau, tetapi kerana beliau murid yang bagus.

Andainya murid yang bernama William Ghani Bina itu bodoh, berdasarkan logik kenyataan Cikgu William Ghani Bina di atas, betapapun bagus cikgu yang mengajar beliau dahulu, sudah pasti William Ghani Bina gagal dalam apa-apa peperiksaan sepanjang persekolahannya. Sudah pasti William Ghani Bina tidak layak memasuki maktab perguruan atau universiti. Sudah pasti William Ghani Bina tidak layak menjadi cikgu dan sudah pasti tidak dipilih menjadi pemimpin persatuan cikgu.

Ini bermakna Cikgu William Ghani Bina, Presiden Sarawak Teachers' Union yang dipetik oleh thestar online sebagai berkata 'No matter how good the teachers are, if the students are bad, the exam results will be bad', bukanlah murid William Ghani Bina yang bodoh itu.

Lagi pun, jika beliau murid yang bodoh, ada kemungkinan beliau dikurung dalam stor sukan sekolahnya supaya tidak menduduki peperiksaan. Maka keputusan peperiksaan sekolah itu menjadi cemerlang dan cikgu-cikgunya yang bagus menerima anugerah cemerlang.

Tahniah cikgu!