2021

2021
DARURAT COVID-19

SANDIWARA MERDEKA

Rabu, September 07, 2011

| | |

(Pesawat angkasa Rusia, Soyuz TMA-20. Catatan di bawah.)

Mula-mula Presiden PAS:
menggugurkan prinsip perjuangan partinya untuk membina negara Islam.

Diikuti Timbalan Presiden PAS:
mengisytiharkan anggota Parti Komunis Malaya sebagai pejuang kemerdekaan.

Cendekiawan, menteri besar, aktivis sosial dan anggota masyarakat ikut serta:
berpolemik berkenaan Mat Indera.

Ketua Pemuda UMNO tumpang semangkuk:
ajak berdebat dengan Timbalan Presiden PAS.

*****

Hari Kebangsaan 31 Ogos 2011 telah berlalu. Hari Malaysia 16 September 2011 semakin hampir. Kedua-dua hari tersebut diisytiharkan untuk menjadi tanda penamat dua peristiwa.

Pertama, peristiwa penjajahan dan perhambaan selama 446 tahun. Semoga penduduk Alam Melayu ini kekal merdeka dalam segala segi kehidupan bermula 31 Ogos 1957. Kegelapan telah sirna, kepahitan telah luput. Penduduk Alam Melayu berikrar dan bertekad mengkesampingkan segala perbezaan serta melupakan sengketa silam, berjanji untuk hidup bersama, bekerja bersama dan memerintah bersama demi masa hadapan yang lebih sejahtera.

Kedua, peristiwa perpisahan bangsa serumpun yang menghuni Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Semoga perpisahan tersebut tidak berulang setelah negara dan bangsa Malaysia terbina pada 16 September 1963. Penduduk Malaysia berazam untuk menyatukan segala upaya dan kemampuan, bermuafakat tanpa syarat, bergandingan tanpa curiga, bersama-sama mara sebagai bangsa beridentiti, bermaruah, demokratik, maju dan mulia.

Sewajarnya tanda penamat dua peristiwa hitam tersebut tidak menjadi pemula kepada perbahasan terhadap prinsip dan babak-babak kecil perjuangan. Sewajarnya tanda penamat tersebut menjadi titik mula permuafakatan era baharu bagi menghadapi cabaran baharu yang muncul dalam segenap sudut kehidupan bangsa Malaysia.

Perbahasan terhadap prinsip dan babak-babak kecil perjuangan tersebut tidak lebih daripada sandiwara wayang pura-pura yang dipentaskan untuk tontotan rakyat terbanyak yang semakin terhimpit dalam ruang kehidupan yang semakin sempit. Walhal para pelakon utama sandiwara wayang pura-pura itu hidup bersenang-lenang menikmati kekayaan dan kemakmuran negara merdeka. Kot dan songkok pun dibayar Kerajaan, begitu juga jubah dan serban, apatah lagi pembalut luka akibat bergelut dalam perhimpunan haram.

Seusai persembahan sandiwara wayang pura-pura itu, rakyat kembali ke kandang masing-masing yang sarat dengan:

  • rasa mual harga kehidupan yang semakin meninggi,
  • bau hanyir keamanan yang semakin merudum,
  • hapak rumah murah yang terbengkalai menjadi sarang gelandangan,
  • rupa buruk anak-anak yang cicir dari persekolahan,
  • wajah lapuk graduan yang tiada pekerjaan,
  • jijik muntah penagih candu dan penggian pondan,
  • hiruk-pikuk pendatang yang bekerja tanpa silu dan segan,
  • ratap sayu orang-orang tua yang tiada bonus dan tiada ganjaran,
  • tengit peluh ibu tunggal menyara diri, anak perempuan dan anak jantan,
  • tangisan anak-anak yatim yang meminta-minta di pintu bank,
  • amukan peragut, pencuri, penyamun dan perogol yang kian buas dan ganas, dan
  • hilaian hantu dan jelmaan afrit dalam akhbar, majalah, televisyen dan wayang.
*****
(Kapal angkasa USA, Endeavour. Catatan di bawah.)

Orang lain, orang yang maju dan sentiasa berhasrat menguasai kita, senyum gembira menonton pertelingkahan dan mendengar pertikaian kita dari angkasa.

Arca ehsan National Aeronautics and Space Administration (NASA), USA:


Kapal angkasa USA, Endeavour, berlabuh di Stesen Angkasa Antarabangsa selama 12 hari (dari 18 hingga 30 Mei 2011). Arca ini dirakam pada 23 Mei 2011, kira-kira 350 kilometer di atas kepala kita, oleh angkasawan Eropah, Ir. Paolo Angelo Nespoli dalam pesawat angkasa Rusia, Soyuz TMA-20. Soyuz mengelilingi dunia selama 159 hari. Angkasawannya: Komander Dmitry Kondratyev (Rusia), Ir. Catherine Coleman (USA) dan Nespoli (Itali).


Orang lain, orang yang maju dan sentiasa memandang ke hadapan, walau berlainan rumpun dan berbeza kerajaan, tetap berpakat demi kuasa dan kemuliaan.