2021

2021
DARURAT COVID-19

SYUKUR! MANIAM, MALINI DAN PERUMAL TERSELAMAT!

Ahad, Januari 30, 2011

| | |

Akhirnya muafakat tercapai. Karya kreatif Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, Interlok, boleh terus dinikmati oleh pelajar sekolah dan Maniam, Malini serta Perumal tidak dihukum.

Hanya beberapa perkataan dan beberapa frasa akan dipinda untuk disesuaikan dengan kematangan penuntut sekolah. Beberapa perkataan pula akan diberikan makna dalam bentuk glosari atau nota kaki.

Berikut ialah petikan daripada berita keputusan Kerajaan sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Online pada 27 Januari 2011:

'Novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

"Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.'

Keputusan ini bijak dan mencerminkan cara hidup demokratik rakyat Malaysia. Kedaulatan rakyat menjadi keutamaan, cita rasa rakyat menjadi pertimbangan.

Karyawan tidak berkarya kerana karyanya. Karyawan menggembleng daya seninya berkarya untuk menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat, termasuk dirinya, menerusi penanya. Sekiranya terdapat beberapa titik hitam yang menghantui khalayaknya serta merencatkan aspirasi kesejahteraan itu, maka wajarlah titik hitam itu dinyahkan atau disamarkan. Bagai membuang jeragat di wajah ratu, takkan hilang jelitanya.

Lagipun, ketika mengaturkan kata-kata dan idea beliau sehingga melahirkan Interlok, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak terfikir bahawa novel itu akan menjadi teks komponen sastera di sekolah menengah. Seandainya beliau mengetahuinya lebih awal, sudah barang pasti sasterawan bijaksana ini akan menggarap kisah Maniam itu dengan kata-kata dan gaya bahasa yang sepadan dengan kematangan anak-anak di bangku sekolah. Maka wajarlah Interlok edisi remaja itu disunting sebaiknya agar memenuhi maksud persekolahan, aspirasi masyarakat Malaysia yang majmuk dan keperluan untuk menikmati keindahan suatu hasil seni cendekiawan.

Apabila dewasa nanti, berbekalkan sedikit kemahiran menelusuri karya sastera, anak-anak remaja hari ini bolehlah membaca karya asal Interlok dan berupaya pula menukilkan karya yang lebih baik dan lebih besar daripada sumbangan sasterawan negara itu.

Dalam konteks sosiopolitik pula, sikap berlapang dada pemerintah bukan sahaja menampakkan kematangan bertatanegara, tetapi juga melambangkan kebijaksanaan dalam menguruskan ketaksamaan dan kemajmukan yang menjadi realiti bangsa Malaysia. Keputusan menjadikan Interlok sebagai teks sekolah menengah tetap kekal, yang berubah hanya beberapa perkataan dan beberapa frasa. Biar rugi segenggam, tidak segantang!

Harapan kita ialah kesungguhan pemerintah menyaring karya seni Interlok dipanjangkan terhadap kekarutan dan ketahyulan yang dimomokkan saban hari ke dalam minda masyarakat terbanyak menerusi media cetak dan media elektronik. Apatah lagi media cetak dan media elektronik berbahasa Melayu - dan khalayaknya bangsa Melayu - yang dikuasai oleh parti pemerintah.

Usah ditunggu sekumpulan orang Melayu mencampakkan akhbar, majalah atau penerbit rancangan televisyen berkenaan ke dalam nyala api. Demikian bukan fi'il bangsa Melayu membakar kertas apatah lagi manusia. Namun hati Melayu yang terbakar, nyalanya menghanguskan istana, baranya menjatuhkan bendahara!