[Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain
Air mata Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain berjurai menyaksikan peristiwa pembakaran novel Interlok karya beliau. Air mata saya juga berjurai tatkala membaca kisah yang menimpa Maniam, isterinya Malini dan mertuanya mandur Perumal yang dipersembahkan oleh sasterawan itu dalam Buku Tiga novel berkenaan, Keluarga Maniam.
Maniam, Malini dan Perumal merupakan manusia gigih, kental dan berhati mulia. Gigih berusaha mencari rezeki halal demi membebaskan diri dari kefakiran yang meminta-minta. Kental menempuh jerih dan getir realiti kehidupan yang terjajah, namun tidak sesekali melutut merendahkan martabat diri mengharapkan ehsan orang lain. Hati mulia, sarat dengan kasih-sayang, basah dengan sifat-sifat insan dan tahu erti setia kawan.
Alangkah indahnya kehidupan yang dianggotai oleh Maniam, Malini dan Perumal. Begitu juga Suppiah, manusia biasa yang cekal. Serta Raman yang tidak berasa bahagia jika tidak dapat menjadi guru mendidik anak bangsanya.
Namun ada juga segelintir dalam kalangan kita yang tidak senang dengan ceritera indah yang mampu menurap nilai-nilai murni ke dalam jiwa anak-anak muda kita. Ceritera indah itu mahu dipadamkan. Watak-watak mulia itu mahu dihitamkan. Hasrat murni dituduh menghina.
Mandur Perumal cukup mengerti. Katanya kepada Maniam: 'Mulut manusia memang begitu. Mereka kata apa-apa yang mereka suka.'
Nasihat mandur Perumal kepada menantunya itu dan kepada kita semua yang berakal, terpelajar lagi merdeka: 'Tapi kita jangan terpengaruh dengan kata-kata mereka. Kita jangan hilang akal'.
'Varuntinal varataku illai - Hati yang tetap akan mencapai kemenangan'. Demikian pepatah Tamil yang ditintakan oleh sasterawan yang bijaksana itu tatkala membuka tirai Buku Tiga: Keluarga Maniam.
[Rujukan: Interlok (Edisi Murid, 2010), novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan 5, karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.]