Seminggu bekerja bersama kaum intelek mengembalikan kesegaran jiwa dan memugar kematangan akal. Mereka merupakan anak-anak muda intelek yang berkecimpung sebagai pendidik di politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Kumpulan pertama (gambar atas) terdiri daripada 22 pensyarah politeknik zon utara semenanjung dari Perlis hingga ke Perak. Mereka berkampung di Institut Latihan dan Pendidikan Lanjutan, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah selama empat hari - 17 hingga 20 Mei - untuk mempertajam kemahiran menulis dengan berkesan dan mencedok pengalaman menerbitkan buletin. Saya bekerja bersama mereka sebagai fasilitator dan coach.
Berikut ialah rakaman kelompok pensyarah tersebut menjalani latihan berkonsepkan experiential learning:
Pada hari keempat kumpulan intelek muda ini berjaya menerbitkan lima edisi 'Buletin Politeknik 1Malaysia'. Saya menghadiahkan kek aiskrim istimewa kepada mereka.
Kumpulan kedua pula terdiri daripada 30 pensyarah politeknik zon tengah semenanjung dari Selangor hingga ke Melaka yang dikelolakan oleh Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan, Politeknik Merlimau. Mereka bermukim di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka dari 31 Mei hingga 3 Jun dalam misi yang sama - mengasah kemahiran membentangkan idea menerusi penulisan berkesan dan mengutip pengalaman mengarang berita dan rencana untuk buletin. Saya turut bekerja bersama mereka, juga sebagai fasilitator dan coach.
Beginilah rakaman gelagat mereka ketika melaksanakan misi tersebut:
Sebagaimana kejayaan rakan-rakan mereka di utara, kumpulan intelek muda politeknik zon tengah ini juga mempamerkan transformasi yang membanggakan. Pada hari keempat mereka berjaya mengaplikasikan rukun penulisan berkesan dalam bentuk enam edisi 'Buletin Politeknik 1Malaysia'.
Tahniah kepada kaum intelek muda politeknik yang begitu tekun dan gigih mengasah dan mempertajam potensi diri. Syabas kepada Bahagian Latihan dan Kerjaya, Jabatan Pengajian Politeknik yang menganjurkan program pembangunan profesionalisme tenaga kerja barisan hadapan. Usaha murni ini berjaya menyegarkan semangat juang dan memugar kematangan daya fikir para pendidik di politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.