2021

2021
DARURAT COVID-19

TAHNIAH BN, SELAMAT BERKHIDMAT YB KAMALANATHAN

Isnin, April 26, 2010

| | |



TAHNIAH Barisan Nasional. Pengundi Hulu Selangor masih meyakini permuafakatan politik pimpinan UMNO dan memilih '1Malaysia'.

Namun jangan sekali-kali mabuk dengan kemenangan P.Kamalanathan. Tiga tahun yang lalu, April 2007 di Ijok, Cikgu K.Parthiban menewaskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pilihanraya kecil yang juga menyaksikan pertarungan sengit antara Dato' Sri Mohd. Najib dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mabuk dengan kemenangan 'cikgu' ke atas 'tan sri' dan masih khayal dengan kemenangan besar BN dalam Pilihanraya Umum 2004 (BN menang 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor), pemimpin-pemimpin BN menjadi bongkak dan takbur. Para YB yang dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat, berkhidmat kepada diri sendiri, isteri, anak-menantu dan kaum keluarga. Masing-masing berlumba membina istana, mengumpul kekayaan, membolot lesen dan permit dan mengejar kedudukan yang lebih tinggi.

Malah kebongkakan dan ketakburan pemimpin BN di Selangor sampai ke kemuncaknya apabila mereka sanggup menghina dan memperbodoh pegawai dan kakitangan kerajaan. Rakyat kecewa.

Tidak sampai setahun selepas Ijok, Mac 2008, kerajaan BN runtuh di Selangor. Cikgu K.Parthiban lenyap, Tan Sri Khalid menawan Ijok dan menduduki kerusi menteri besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Yang Berhormat Kamalanathan, ingatlah bahawa saudara beroleh kepercayaan rakyat Hulu Selangor setelah Dato' Sri Mohd. Najib, Tan Sri Muhyiddin dan BN menjanjikan kesejahteraan '1Malaysia' tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan. Berkhidmatlah kepada rakyat '1Malaysia' dan bukan kepada kaum India semata-mata. Saudara tidak dipilih untuk berkhidmat kepada diri sendiri, ibu bapa, isteri dan kaum keluarga saudara.

Saudara beroleh kehormatan sementara untuk menjadikan impian '1Malaysia' suatu kenyataan, setidak-tidaknya di Hulu Selangor. Selamat berkhidmat!