2021

2021
DARURAT COVID-19

KESEPIAN BERJANGKIT, KEBENCIAN?

Rabu, Disember 02, 2009

| | |

[Dalam catatan ini, tulisan beraksara biru ialah sisipan selari pencatat.]

'Penderita kesepian memindahkan rasa sepinya kepada rakan-rakannya yang kemudiannya turut menderita kesepian.'

Demikian dilaporkan dalam New Straits Times hari ini. Laporan bertajuk 'People can spread loneliness' itu memetik dapatan kajian para penyelidik dari University Chicago, University California-San Diego dan Havard University yang diterbitkan dalam Journal of Personality and Social Psychology edisi Disember.


Kesepian menghuni kalbu. Penghuni lain ialah kegirangan, kecintaan dan kebencian.


Media tempatan semakin kerap melaporkan fenomena kebencian dalam masyarakat Malaysia. Perdebatan ahli-ahli politik di Dewan Rakyat dan dewan-dewan undangan negeri misalnya, sarat dengan kata-kata yang menyerlahkan kebencian yang berkesumat dalam hati mereka. Ada juga yang benci kepada anggota penguatkuasa undang-undang seperti pencegah rasuah dan polis. Malah terdapat juga golongan yang menyumpah pemimpin-pemimpin Kerajaan dan berdoa supaya Tuhan menurunkan bala ke atas seseorang yang dianggap seterunya.

Kelihatannya kebencian juga berjangkit. Bermula daripada seorang ketua, melalui ungkapan, kebencian segera berjangkit kepada semua orang yang berhimpun dalam dewan, masjid atau stadium. Kebencian orang tua berjangkit kepada orang muda dan kanak-kanak. Manakala yang tidak dijangkiti pula mengasingkan diri dan menutup mulut.

Selanjutnya laporan itu menyatakan: 'Kesepian, seperti juga selsema, berjangkit. Kesepian berjangkit dalam kelompok manusia dan lebih mudah menjangkiti kaum perempuan. Penderita kesepian kemudiannya meminggirkan dirinya daripada arus perdana masyarakat. Penderita kesepian yang terpinggir itu sudah tentunya lebih sepi kerana rakan-rakan semakin kurang. Lantaran rakan-rakan juga penderita kesepian, masing-masing akan menjauhkan diri, dan akhirnya penderita kesepian terpinggir lebih jauh dan bersendirian.'

Berbeza dengan kebencian. Penderitanya tidak beranjak ke pinggir masyarakat. Sebaliknya mengasak ke lapisan teras. Lantaran penderita kebencian bergerak ke bahagian tengah masyarakat yang padat dengan manusia, maka rakan-rakannya semakin bertambah kerana lebih banyak yang dijangkiti kebencian. Akhirnya lapisan perdana dan lapisan teras masyarakat diwabaki kebencian, sedangkan pada pinggirannya didiami penderita kesepian.

Ahli psikologi University Chicago John Cacioppo, sebagaimana dipetik oleh laporan tersebut, berkata: 'Justeru kesepian bertaut juga dengan penyakit fizikal dan penyakit mental yang boleh menyebabkan kematian, maka sangatlah mustahak kesepian diiktiraf sebagai penyakit dan penderitanya dibantu sebelum mereka tercampak ke pinggir arus perdana masyarakat.

Tiada pula kajian yang menunjukkan kebencian bertaut dengan penyakit fizikal atau penyakit mental yang boleh menyebabkan kematian si penderitanya. Pun begitu terdapat pengebom berani mati yang sanggup meletupkan dirinya untuk menimpakan kecederaan dan kematian ke atas orang lain. Kebencian seorang ketua negara terhadap seorang ketua negara lain juga telah menyebabkan kemusnahan peradaban, kemusnahan jiwa dan penderitaan rakyat ketua negara yang dibenci itu.

Kata ahli psikologi itu lagi: 'Seseorang yang kesepian sukar mempercayai orang lain. Akibatnya penderita kesepian semakin sukar membina persahabatan.'

Anehnya orang ramai mudah mempercayai kata nista si penderita kebencian. Malah lebih banyak pihak yang sedia bersahabat dengan penderita kebencian. Para sarjana dan penyelidik universiti tempatan wajar bermuafakat mengkaji fenomena kebencian ini dengan teliti dan mendalam demi kelestarian dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

[Gambar hiasan. Sumber: LOLITA COSSETTE]