Ucapan Bajet 2010: "Sebagai langkah untuk menggalakkan perbelanjaan berhemat, Kerajaan mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak 50 ringgit setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma. Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak 25 ringgit setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit tambahan." (Perenggan 89)
Ulasan: Bagaimanakah cukai perkhidmatan RM50 setahun boleh menggalakkan perbelanjaan berhemah dalam kalangan pengguna kad kredit atau kad caj? Yang pasti perbelanjaan pengguna kad kredit bertambah RM50 setahun. Dengan kata-kata lain, pada awal tahun 2010, poket pengguna kad kredit kurang RM50 dan poket Kerajaan bertambah RM550 juta. Satu idea yang genius.
Senario: Pakatan Rakyat menjanjikan caj perkhidmatan RM50 itu dimansuhkan sekiranya parti itu diberikan mandat memerintah. Lebih 11 juta pemegang kad, yang sebahagian besarnya berumur 21 ke atas dan berdaftar sebagai pengundi, akan tertarik dengan umpan manis tersebut. Satu idea yang lebih genius dan menggelabahkan calon-calon Barisan Nasional.
(Jawab Perdana Menteri: "Caj RM50 bukan perkara besar." Benar, RM50 setahun bukan nilai yang besar, khususnya kepada Perdana Menteri dan ahli-ahli Jemaah Menteri. Benar, RM50 setahun bukan nilai yang besar kepada pengundi pembayar cukai memandangkan pelepasan peribadi telah dinaikkan sebanyak RM1000. Benar, RM50 setahun bukan nilai yang besar pada akal rasional. Namun RM50 setahun menjadi nilai yang besar kepada pengundi bukan pembayar cukai. Malah RM50 setahun menjadi nilai yang sangat besar pada akal yang tidak rasional semasa kempen pilihan raya. Ahli politik manakah yang mensasarkan kempen pilihan raya pada domain akal rasional?)
Ingatan: Dalam tahun 60-an, rakyat mesti menjinjing botol tatkala ke hospital Kerajaan kerana hospital berkenaan tidak membekalkan botol ubat secara percuma. Saya masih ingat, sebiji botol ubat berharga antara 20 sen hingga 30 sen. Dalam satu pilihan raya umum, parti PAS menjanjikan 'botol ubat percuma di hospital Kerajaan'. Saya masih kanak-kanak pada ketika itu, tetapi saya masih ingat betapa gelabahnya calon-calon parti Perikatan menghadapi serangan parti PAS tersebut.
Idea alternatif: (1) Hadkan penggunaan kad kredit (dalam negara dan kepada warganegara) untuk membeli barangan dan perkhidmatan sahaja. Kad kredit tidak boleh digunakan untuk meminjam wang daripada institusi kewangan. (2) Tetapkan had transaksi kad kredit, misalnya tidak lebih 60 peratus daripada pendapatan pemegang kad kredit berkenaan. Kenakan penalti bertingkat-menaik ke atas amaun transaksi yang lebih daripada had yang ditetapkan itu.
[Catatan ini dipautkan ke blog 1Malaysia]