2021

2021
DARURAT COVID-19

INOVASI ARAS PUTRAJAYA DAN CYBERJAYA

Isnin, Oktober 26, 2009

| | |

Ucapan Bajet 2010: "Kerajaan akan terus membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya supaya menjadi lebih ceria dan bertenaga. Usaha akan dipertingkatkan untuk memperbanyakkan aktiviti perniagaan, komersial dan rekreasi. Antara projek utama yang akan dilaksanakan di Putrajaya ialah pembinaan hypermarket, sekolah antarabangsa, galeri seni, muzium sejarah, kompleks membaiki kereta serta pusat rekreasi dan riadah. Manakala, di Cyberjaya, antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan rumah mampu milik, hypermarket, kompleks perniagaan, kemudahan parkir, pusat rekreasi dan riadah serta sekolah. Selain itu, kemudahan rangkaian pengangkutan awam yang Iebih efisien akan disediakan. Pendek kata, pembangunan kedua-dua bandar ini akan saling melengkapi." (Perenggan 81)


Ulasan: Pembekal idea atau teks perenggan 81 ini berjaya menampilkan imej Perdana Menteri Malaysia seumpama yang di pertua majlis daerah membentangkan rancangan pembangunan tahunan dalam persidangan majlis daerahnya.

Bagaimanakah 'pembinaan hypermarket, sekolah antarabangsa, galeri seni, muzium sejarah, kompleks membaiki kereta serta pusat rekreasi dan riadah' di Putrajaya itu boleh melonjakkan negara sebagai entiti ekonomi berpendapatan tinggi yang berpaksikan inovasi? Adakah pembinaan hypermarket suatu inovasi? (Majlis Perbandaran Kota Bharu pun membina hypermarket, demikian juga Majlis Perbandaran Petaling Jaya.)

Inikah sahaja - sekolah antarabangsa, galeri seni, muzium sejarah, kompleks membaiki kereta serta pusat rekreasi dan riadah - tahap inovasi yang boleh dicetuskan oleh pemikir dan perancang pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya? Rancangan pembinaan tersebut tidak selayaknya dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen Malaysia dalam sesi ucapan belanjawan negara 'pembuka tirai Rancangan Malaysia Ke-10' untuk berganjak kepada 'model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreatitiviti dan nilai tambah tinggi'.

Demikian juga pembangunan Cyberjaya. Inovasi yang tertinggi yang terfikir oleh ahli-ahli inovasinya untuk dimasukkan ke dalam teks Ucapan Bajet 2010 dan dibahaskan oleh ahli-ahli Yang Berhormat ialah 'kemudahan parkir'. Mungkin parkir di Cyberjaya yang akan dibina pada tahun 2010, yang perlu dibahas dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia, ialah sejenis parkir digital yang dapat ditempah terus dari Washington menerusi Google Map dan ditayangkan kepada Presiden Barack Obama menerusi Google Earth, atau sejenis parkir angkasa untuk memarkir jet Boeing 727-23 milik Donal Trump.

Untuk makluman Perdana Menteri: Di kampung saya - Kampung Gaung dalam Jajahan Pasir Mas - ada koperasi bernama Koperasi Anak Melayu Gaung yang dianggotai oleh warga kampung. Satu daripada projek niaga koperasi ialah 'mencuci dan membaiki kereta'. Hanya tiada 'kompleks' pada pangkal nama projek tersebut. Tidak juga tercatat dalam minit mesyuarat lembaga koperasi itu bahawa projek mencuci dan membaiki kereta tersebut sebagai satu inovasi. Malah saya diberi maklum, di ibu kota Kuala Lumpur, kerja mencuci dan membaiki kereta dikendalikan oleh warga Myanmar sahaja. Demikian juga pengurusan ruang parkir.

Idea alternatif: (1) Memperuntukkan sejumlah dana untuk menjadikan Putrajaya sebagai kota penyelidikan dan pembangunan pengurusan kerajaan sivil berintegriti. (2) Pembangunan Putrajaya sebagai model bandaraya demokratik, produktif, mesra alam dan mesra budaya. (3) Pembangunan Cyberjaya sebagai pusat k-dagang antarabangsa yang menjana pendapatan negara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. (4) Pembangunan Cyberjaya sebagai pusat pengasuhan modal insan k-pekerja aras tinggi untuk dunia.

[Catatan ini dipautkan ke blog 1Malaysia]