KELANTAN, 14 Julai 2009 - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai mengulangi sejarah pilihan raya kecil DUN Pulai Chondong. Lima belas tahun yang lalu di Pulai Chondong, PAS bertarung dengan BN dan PAS menang tipis. Calon PAS mengalahkan calon BN dengan majoriti 118 undi. Tiga tahun kemudian, dalam pilihan raya umum ke-10, PAS mengekalkan kejuaraannya di Pulai Chondong, mengalahkan BN dengan majoriti 2,318 undi.
Pada pilihan raya umum ke-10 itu juga, di Pasir Puteh, PAS merampas DUN Semerak dari tangan BN dengan kelebihan undi sebanyak 1,475. Sebelum itu DUN Semerak menjadi milik BN setelah calonnya mengalahkan calon PAS dalam pilihan raya kecil tahun 1997 dengan majoriti 778 undi.
Lapan tahun selepas peristiwa di DUN Semerak, sejarah berulang di Pasir Mas. Kali ini pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir tahun 2005. BN menang tipis. Calon BN mendahului calon PAS dengan kelebihan 134 undi. Datang banjir besar 2008, kerusi DUN Pengkalan Pasir hanyut ke pengkalan PAS. Calon PAS mengatasi calon BN dengan majoriti 2,348 undi.
Di Manek Urai, PAS dapat luka baru dan BN kalah tipis walaupun luka 2008 mula berparut.
Namun sumpah pilihan raya kecil di Kelantan belum surut. Yang terpijak pasti melutut!