2021

2021
DARURAT COVID-19

KE MANA MENGHILANG KUNANG-KUNANGKU (I)

Khamis, Julai 16, 2009

| | |
Awal tujuh puluhan, rumah-rumah di Kampung Gaung mukim Tendong dalam daerah Kubang Sepat dalam Jajahan Pasir Mas dalam negeri Kelantan, belum disinari lampu elektrik kecuali rumah-rumah di sepanjang jalan raya yang menghubungkan Pasir Mas dengan Kota Bharu.

Pada malam hari, rumah-rumah yang ketiadaan elektrik tersebut menumpang sinar malap cahaya pelita minyak tanah. Antara rumah tersebut ialah rumah saya yang terletak di hujung denai berlumpur dan bertompok hitam tahi lembu, kira-kira sepuntung rokok dari jalan raya.

Tatkala pulang dari menonton wayang kulit, selalunya malam telah bertemu pagi dan tiada bulan di langit, saya meredah denai yang dilitupi kegelapan yang sungguh hitam lagi menakutkan. Lumpur dan tahi lembu tidak lagi kelihatan. Hanya hanyirnya menanti pijakan.

Kegelapan yang sungguh hitam. Tiada sekelip cahaya kerana semua penghuni telah tidur dan pelita dipadamkan. Malah pelita selalu dipadamkan awal bagi menjimatkan minyak tanah.

Bagaimana agaknya rupa 'kegelapan yang sungguh hitam' itu? Saya boleh gambarkan begini: sambil berjalan (yang selalunya pantas kerana takut hantu tetapi tidak sampai berlari kerana takut terlanggar pokok atau terpijak tahi lembu) saya membentangkan tapak tangan sejengkal di hadapan mata, tidak kelihatan.

Kegelapan yang menakutkan. Selain takutkan hantu, patukan ular kapak juga mengerikan. Saban tahun ada saja penduduk kampung yang menjadi mangsa ular kapak yang menunggu atas denai laluan saya. Denai laluan saya itu bersebelahan pula dengan kubur.

Dalam kegelapan yang sungguh hitam lagi menakutkan itu, saya menapak menuju ke rumah.

Mujurlah halaman rumah ada cahaya. Kelipan perut kunang-kunang. Malam yang gelap, hitam dan dingin itu rupa-rupanya menjadi taman kunang-kunang mengawan. Halaman rumah saya yang dirimbuni pokok pisang, rambai, langsat, jering dan durian itu rupa-rupanya menampung kehidupan kumbang aneh bercahaya.

Baru-baru ini saya pulang menjengah ibu. Selepas tengah malam, ketika jiran ketiduran, tatkala pagi telah datang, saya menjengah ke luar jendela, tiada cahaya bulan, tiada juga kelipan kunang-kunang.

Ke manakah menghilang kunang-kunangku?

[Gambar: Kunang-kunang. Sumber: Blog Leong Yi Yang]