Tidak boleh membaca dan menulis bermakna buta huruf. Apabila buta huruf, tentulah buta nombor. Buta nombor menyebabkan buta matematik. Bagaimana mungkin generasi buta matematik, yang tidak peteh membilang, menjadi generasi terbilang!
Buta huruf tentulah memisahkan murid daripada buku. Walhal buku ialah pintu ilmu. Maka berlakulah buta ilmu. Buta ilmu sains. Buta ilmu teknologi.
Tidak boleh membaca bermakna murid berkenaan terhalang daripada mengetahui sejarah kehidupan bangsanya, sejarah negaranya dan sejarah manusia sejagat. Maka buta sejarah.
Tidak boleh membaca bermakna murid tersebut tidak dapat mempelajari tabii' alam sejagat dan tatahidup manusia. Lantas buta budaya.
Gambaran generasi buta budaya boleh diperhatikan dalam kisah sekumpulan monyet kesejukan yang cuba menyalakan api daripada cahaya pada perut kunang-kunang. Melihat telatah monyet tersebut, sang gagak menempelak, "Kunang-kunang kau sangkakan api? Tak bersekolahkah kalian?"
Tiga dekad yang lalu, ketika masih di bangku sekolah dan ketika malam saya diterangi sekuntum api pelita minyak tanah yang melintuk-lintuk, saya menelaah pelajaran bertemankan kelipan cahaya kunang-kunang. (Sesekali saya hembuskan pelita minyak tanah itu. Oh! Indahnya kelipan kunang-kunang. Terapung-apung dalam kelam, bagaikan pari-pari.)
Rakan sekelas tingkatan tiga, yang mejanya di kanan saya, Awang (bukan nama sebenar), bukan sahaja tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis, malah tidak boleh menulis namanya sendiri.
Suatu hari - tarikhnya tidak tercatat dalam memori, tetapi tahunnya masih nyata, 1973 - saya bertanya kepada Awang, setelah menuliskan namanya pada buku latihan miliknya, "Tiada kunang-kunangkah di rumah awak?"
[Gambar digubah daripada gambar asal Hasil karya murid SK Lembah Jaya yang dipetik dari laman blog Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya dan gambar kunang-kunang dalam laman blog Leong Yi Yang.]