2021

2021
DARURAT COVID-19

MENGAPA BN WAJIB BERTANDING DI PENANTI?

Isnin, April 20, 2009

| | |



Pertama. BN ialah parti politik yang ditubuhkan untuk memerintah Malaysia dan negeri-negeri dalam Malaysia menerusi amalan demokrasi berparlimen - pilihan raya. Apakah jalan lain pilihan BN untuk memerintah negeri Pulau Pinang selain pilihan raya? Pilihan raya kecil, termasuk juga plihan raya peringkat kerajaan tempatan, jika ada, ialah jalan-jalan ke arah memerintah sesebuah negeri dan sesebuah daerah munisipaliti. Sekiranya BN tidak menyertai pilihan raya, pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, maka apakah jati diri BN sebagai parti politik? 


Kedua. Sejak awal penubuhan Malaysia, UMNO dan Perikatan 
telah memilih amalan demokrasi sebegini, yang memang mahal harganya. Mengapakah baru sekarang kita berhujah bahawa pilihan raya membazirkan wang rakyat? Mengapakah UMNO dan Perikatan tidak memilih amalan pemerintahan beraja mutlak dan meneruskan warisan kegemilangan kesultanan Melayu sebelum penjajahan?

Ketiga. BN mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) 
memanipulasi sistem demokrasi negara dengan sengaja mengosongkan kerusi DUN Penanti untuk mengekalkan momentum permainan politik ketuanya, Anwar Ibrahim. Dengan kata lain, dakwaan BN tersebut bermaksud PKR, khususnya Anwar, telah mempermain-mainkan kepercayaan rakyat kepada mereka bagi mencapai muslihat politik yang kotor. Oleh itu BN wajib menggunakan peluang pilihan raya kecil DUN Penanti bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu dan mewar-warkannya kepada pengundi di kawasan berkenaan. BN wajib juga memberikan pilihan kepada pengundi untuk memilih parti dan pemimpin yang hanya mengutamakan rakyat dan tidak berniat jahat.

Keempat. Pada pilihan raya umum ke-12, calon BN mendapat 5,127 undi. Mereka ini pengundi setia BN di tengah-tengah gelombang tsunami yang meruntuhkan kerajaan BN di Pulau Pinang. Dengan tidak menyertai pilihan raya kecil DUN Penanti, ke manakah arah haluan 5,127 pengundi tersebut? Adakah kesetiaan mereka akan dapat dipertahankan sehingga pilihan raya umum yang akan datang? Beranikah mereka berdiri menghadapi rempuhan gelombang tsunami  yang lebih besar sedangkan mereka tidak yakin terhadap kejantanan pemimpin BN?


Kelima. Terdapat 27 peratus pengundi bukan Melayu di DUN Penanti. Sokongan pengundi ini kepada BN bergantung kepada kemampuan MCA, Gerakan dan MIC meyakinkan mereka bahawa BN ialah parti yang menjulang tradisi membela rakyat tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan warna kulit. Pemimpin parti-parti komponen itu telah diberikan tempat dalam kabinet Kerajaan Malaysia. Mereka nampaknya tidak berpuas hati dengan komposisi representasi parti masing-masing dalam Kerajaan. Malah ada yang menuntut jawatan timbalan perdana menteri. Pilihan raya kecil DUN Penanti merupakan peluang kepada pemimpin BN untuk menguji kebolehan, keupayaan dan kesetiaan anggotanya, terutamanya MCA, Gerakan dan MIC. Petunjuk prestasi utama (KPI) kepada ketiga-tiga anggota BN yang tidak pernah berpuas hati itu ialah sekurang-kurangnya 66 peratus undi daripada pengundi bukan Melayu.
Keenam. Politik permainan serba mungkin. Dengan sesuatu sebab politik yang tertentu kerusi parlimen Rembau terpaksa dikosongkan oleh BN. Dengan sesuatu sebab politik yang tertentu juga satu kerusi DUN dalam kawasan parlimen Pekan terpaksa dikosongkan. Dengan sesuatu sebab politik yang tertentu juga satu kerusi DUN milik BN di negeri Perak terpaksa dikosongkan. Adakah BN tidak akan menyertai pilihan raya kecil di kawasan berkenaan dengan alasan membazirkan wang rakyat? Adakah PKR dan sekutunya tidak akan menyertai pilihan raya kecil di kawasan berkenaan dengan alasan membantu BN menumpukan usaha membangunkan ekonomi negara?
Ketujuh. Jika benar prinsip BN ialah tradisi membela rakyat dan jika benar dakwaan BN bahawa prinsip PKR ialah tradisi membela Anwar, maka BN wajib menegakkan prinsipnya. Tidak menegakkan prinsip 'tradisi membela rakyat' lebih mahal harganya daripada tidak melaksanakan pilihan raya, pilihan raya kecil dan apatah lagi pilihan raya umum. Memberi kemenangan percuma kepada parti yang prinsip perjuangannya ialah meladeni kehendak seorang individu menjadi perdana menteri adalah satu kerugian besar kepada rakyat Malaysia, bukan sahaja kerugian emas perak, malah kerugian moral dan keruntuhan jati diri politik bangsa Malaysia. Bagaimanapun, andainya prinsip BN juga tiada bezanya dengan prinsip PKR, yakni tradisi meladeni kehendak seseorang pemimpin menjadi perdana menteri, dan prinsip itu pula telah terlaksana dengan terjadinya Mohd.Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka wajarlah BN tidak menyertai mana-mana pilihan raya kecil yang tidak akan menjejaskan kemenjadian Mohd.Najib Tun Abdul Razak sebagai perdana menteri.