SAYA BENAR-BENAR TIDAK TAHU MENGAPA PERKARA INI BERLAKU. Demikian reaksi Tan Sri Samsudin Osman, Presiden Putrajaya Corporation (PJC) yang juga bekas Ketua Setiuasaha Negara, terhadap kebocoran ibu pejabat PJC di Putrajaya pada 11 November 2008 sebagaimana yang dilaporkan oleh NST Online 12 November.
Berita tersebut seterusnya melaporkan bahawa kebocoran berkenaan menyebabkan hujan lebat yang menyimbah Putrajaya pada petang itu turut menyiram ruang legar bangunan tersebut yang sedang menyaksikan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, penerima anugerah Nobel 2003 Profesor Dr Robert Engle dan hampir 600 orang eksekutif perniagaan mengambil bahagian dalam forum Global Financial Uncertainties and The Future of Malaysia kelolaan Yayasan Kepimpinan Perdana.
Tan Sri Samsudin juga dilaporkan sebagai berkata bahawa peristiwa kebocoran itu adalah yang pertama menimpa bangunan ibu pejabat PJC itu.
Untuk rekod, pada 11 April 2007 kebocoran paip telah berlaku di bangunan ibu pejabat Jabatan Imigresen dan pada 28 April tahun yang sama, paip perenjis air kebakaran di bangunan dewan serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula pecah. Kedua-dua bangunan itu terletak di Pusat Pentadbiran Kerajaaan Persekutuan, Putrajaya.
Reaksi Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kejadian tersebut, sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Online pada 1 Mei 2007 ialah, "Apa yang boleh saya buat, saya marah... saya malu. Apa dah jadi ni. Baru sangat jadi begini... tiba-tiba dengar lagi."
Sebelum itu, pada 29 April 2007 Utusan Online melaporkan jawapan berikut daripada Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Projek Putrajaya Holdings Mohd. Najmuddin Mat Daud mengenai kejadian di bangunan dewan serba guna itu: "Saya tak tahu, belum terima laporan."