2021

2021
DARURAT COVID-19

BANGSA MERDEKA BERANI MENYATAKAN PENDIRIAN

Rabu, Disember 10, 2008

| | |
KAMI AKAN BERDEMONSTRASI SECARA BESAR-BESARAN. Demikian amaran Encik Ong Chiaw Chuan, Presiden Dong Jia Zong (Persekutuan Pertubuhan Guru-Guru Sekolah Cina), kepada Kerajaan Malaysia sekiranya dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan. Kenyataan amaran itu disiarkan oleh The Sun pada 9 Disember 2008.

Kenyataan tersebut juga mempertegas pendirian Dong Jia Zong bahawa bahasa ibunda hendaklah menjadi bahasa pengantar pengajaran mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah.

Seterusnya Encik Ong Chiaw Chuan menyeru parti-parti politik kaum Cina dan menteri-menteri Cina, terutamanya daripada MCA, supaya bertegas memperjuangkan penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar pengajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Beliau juga berpendapat bahawa pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris merupakan ancaman terbesar kepada pendidikan Cina.

Dalam kenyataan tersebut, Encik Ong Chiaw Chuan juga dipetik sebagai berkata bahawa kebanyakan peserta sidang meja bulat kedua pada 27 Ogos 2008 dan sidang meja bulat keempat pada 21 Oktober 2008 kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia, termasuk perwakilan Dong Jiao Zong, kumpulan-kumpulan pendidikan dan kebudayaan pelbagai bangsa, parti-parti politik, ahli-ahli akademik dan bekas pegawai-pegawai pelajaran, tidak menyokong penerusan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Selanjutnya beliau dilapor sebagai berkata bahawa laporan-laporan kajian oleh kumpulan pendidikan, universiti dan Kementerian Pelajaran sendiri menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris telah gagal mencapai objektifnya.

Untuk rekod, pada 12 November 2002, Dong Jia Zong telah mengeluarkan kenyataan berikut yang ditujukan kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan Ketua Pengarang Berita Harian:

"Sebenarnya, sejak awal-awal lagi Dong Jiao Zong menegaskan kepentingan bahasa Inggeris dan menyokong sepenuhnya usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi Dong Jiao Zong menolak penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran matematik dan sains sebagai pendekatan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kerana ini langsung bertentangan dengan prinsip dan norma pendidikan." (Teks penuh kenyataan Dong Jiao Zong tersebut disiarkan oleh United Subang Jaya Web Forum pada 13 November 2002.)

Demikianlah sifat dan sikap bangsa merdeka. Kejantanannya terserlah.

Bagaimana pula dengan pemimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia?