2021

2021
DARURAT COVID-19

TAMPIL MUDA DENGAN VITAMIN PENCEGAH KEDUT

Jumaat, Disember 19, 2008

| | |
(Gambar hiasan. Sumber: Foxnews.com)

Belilah apa-apa jenama krim kecantikan yang dimomokkan kepada anda, buatan tempatan atau Eropah, semuanya mendakwa kaya dengan vitamin C. Namun krim yang anda sapukan pada kulit itu, betapapun sarat dengan pelbagai vitamin, tidak menjanjikan bahawa vitamin berkenaan akan meresap ke dalam sel-sel yang membina kulit anda. 
(Gambar hiasan. Sumber: Corbis)

Oleh itu, betapapun halus dan mahal krim yang anda gunakan, kulit anda tidak dapat menikmati vitamin C yang terkandung di dalamnya. Justeru jalan terbaik memupuk kesegaran kulit anda ialah membekalkan vitamin itu dari dalam, menerusi darah yang mengalir di bawah kulit anda. Makanlah buah-buahan yang kaya dengan vitamin C - limau, oren, manggis, tomato - dan darah akan menyiram sel-sel kulit anda dengan vitamin yang tulen dan murni.
(Gambar hiasan. Sumber: Skin Care Reviews)


Sel-sel yang dibekalkan secukupnya dengan vitamin C akan menumbuhkan kulit yang licin, tegang dan segar. Bagaimana?

Binaan asas kulit ialah sejenis protin bergentian bernama kolagen. Kolagen mencantum, mengikat dan menegakkan tisu-tisu badan, termasuk tisu kulit. Sifatnya yang bergentian, umpama sabut kelapa, menjadi aset terpenting dalam membentuk struktur luar sel-sel badan manusia. Lantaran tisu, misalnya tisu kulit, terbina daripada sel-sel, maka struktur luar sel yang kuat akan menjamin kekuatan dan ketegangan tisu berkenaan.

Malah saintis mengibaratkan kolagen sebagai gam yang mempertaut sel-sel, tisu dan organ. Tanpanya, sel-sel, tisu dan organ berkecai. Inilah jawapannya mengapa kulit berkedut apabila tua. Kolagen sedia ada menjadi usang dan mereput. Penghasilan kolagen baru pula merosot dengan bertambahnya usia. Bukan setakat itu, kajian menunjukkan gentian kolagen meretak dengan pantasnya apabila anda melepasi sempadan tiga puluhan.
(Sumber gambar: State Symbols USA)

Namun kajian juga menunjukkan vitamin C memainkan peranan besar dalam penghasilan kolagen dan mengekalkan keupayaan tubuh untuk terus menghasilkan kolagen walaupun berdepan dengan halangan usia tua. Maka pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C - limau, oren, manggis, tomato - dapat mengekalkan kesegaran dan ketegangan kulit dan mencegah hadirnya kedutan.
(Sumber gambar: syud's notebook)

Selain membantu pengeluaran kolagen, vitamin C juga melumpuhkan gerombolan molikul oksigen liar yang terdapat dalam badan. Molikul oksigen liar, yang digelar sebagai radikal bebas, dapat merosakkan sel-sel - dan seterusnya tisu, termasuk tisu kulit - dengan cara pengoksidanan, yakni membakar sel-sel dan tisu sebagaimana udara mengaratkan besi. Sel-sel dan tisu yang terbakar itu akan membentuk kulit yang berkarat, pecah dan kelihatan lebih tua daripada usia.

Vitamin C dapat melumpuhkan radikal bebas ini kerana sifatnya yang antioksidan. Tambahan pula vitamin C - yang juga dikenali sebagai asid askorbik - mudah larut dalam air. Maka vitamin ini dapat bertugas sebagai agen antioksidan dengan berkesan dalam sel-sel badan yang persekitarannya memang berair. Apa-apa jua radikal bebas dapat dikutip dan dinyahkan dan sel-sel dapat hidup dengan sihat dan dapat bertumbuh dengan sempurna.
(Sumber gambar: SunWingTomatoes.ca)

Kulit yang segar dan licin terbina daripada tisu yang kukuh yang terbentuk daripada sel-sel yang sihat. Kesihatan sel-sel itu pula ditentukan oleh bekalan vitamin yang didatangkan oleh aliran darah yang merentasinya, yang sarat dengan pelbagai zat asli yang diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang dan berkhasiat.