Amaran kepada ahli-ahli politik yang tak kunjung henti bertikai, para perwakilan UMNO yang sedang menjual undi dan para cendekiawan yang turut terseret bersamanya: bahang kelembapan ekonomi telah membakar pasaran kerja United Kingdom.
HRM Guide 17 Disember 2008 melaporkan kadar pengangguran UK meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 5.8 peratus dalam tempoh suku ketiga (Julai-September) tahun ini.
Dari segi angka, menurut laporan itu lagi, kadar pengangguran 5.8 peratus tersebut bermakna 1.82 juta tenaga buruh UK sedang menganggur pada September 2008. Peningkatan kadar pengangguran sebanyak 0.5 peratus itu pula bermakna bilangan penganggur telah bertambah sebanyak 182,000 orang.
Seterusnya laporan itu mencatatkan dapatan kajian tenaga buruh yang menunjukkan bilangan pekerjaan telah merosot sebanyak 99,000 dalam tempoh Julai-September 2008. Manakala BBC News 17 Disember 2008 pula melaporkan pasaran kerja UK akan terus mengecut dan bilangan penganggur diramal meningkat kepada dua juta pada suku keempat (Oktober-Disember) tahun ini.
Laporan bertajuk Jobless figures expected to rise dalam BBC News itu selanjutnya menyimpulkan: "The level of unemployment is already at the highest since 1997 and it is widely expected to keep rising." (Paras pengangguran 5.8 peratus ini adalah yang tertinggi sejak 1997 dan banyak pihak meramal paras tersebut akan terus meningkat.)
Nota Akhir:
Kadar pengangguran tertinggi di UK dalam tempoh 1997-2007 ialah 4.5 peratus pada tahun 1997. Sumber: North East Scotland Economic Research (17 Disember 2008).
[Gambar dipetik dari laman web mrzine.monthlyreview.org (17 Disember 2008)]