2021

2021
DARURAT COVID-19

SELAMAT HARI MALAYSIA

Selasa, September 16, 2008

| | |

16 September 1963 - 16 September 2008

Selamat Hari Malaysia kepada semua teman senegara.


Justeru saya dilahirkan 11 bulan selepas merdeka dan baru berusia lima tahun pada 16 September 1963, hari pertama Malaysia disinari cahaya mentari, maka tiada kenangan yang tergarap pada memori saya untuk dikongsi dengan teman-teman senegara.

Namun saya ketemui seorang dewasa yang sungguh peka dan yang telah merasai sendiri pengalaman indah melahirkan Malaysia merdeka pada saat agung itu - Usman Awang (Sasterawan Negara Dato' Usman Awang, 1929-2001). Pun begitu, tidak saya ketemui catatan beliau yang bertarikh 16 September 1963.

Apa yang ada pada saya ialah seuntai puisi beliau, Jantung Sudah Berdenyut, dengan catatan iringan Kuala Lumpur, Ogos 1963. Saya kira hari lahir puisi ini tidak jauh jaraknya dari tarikh 16 September 1963. Lantaran itu, saya sering menatapinya setiap tiba tarikh agung itu dengan tekad untuk menyertai kegembiraan warga Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak menyambut saat-saat kelahiran negara baru Malaysia.

(Gambar: Allahyarham Sasterawan Negara Dato' Usman Awang. Sumber: kakiseni.com )

Berikut saya perturunkan bait-bait puisi Jantung Sudah Berdenyut yang dipetik dari antologi puisi Duri dan Api karya Usman Awang (Penerbit: Toko Buku Abbas Bandong, Melaka. Cetakan keempat, 1973):


Jantung sudah berdenyut
tuan menggamit pandang
mesra air selat kocak bertaut
Gunung Ledang mengusap sayup ke puncak Singgalang.

Rumah-rumah dan kota dilalui pintunya terbuka
tasik berkilau dari Kuala Lumpur ke Jakarta
pawai rakyat dan berkibar seluruh bendera
biduk kita hampir ke muara, biduk kita bersama.

Manis-manis anak Melayu belayar ke teluk
angin selat menyapu muka dan hati mengetuk
lihat pintu zaman telah terbuka dalam kasih menyapa
tanah ini daerah ini hati kasih kita.

Semalam mata basah kekasih tak menyapa
sedu kemarin menusuk hati ke mana hilangnya
bila hari ini jari-jari manis bersenda
merentang rindu di dada ombak Selat Melaka.

Jantung sudah berdenyut
kasih sayang dalam bertaut.


Semoga Allah SNW mempertaut persaudaraan dan menumbuhkan rasa kasih-sayang dalam segenap jiwa bangsa Malaysia.