2021

2021
DARURAT COVID-19

CERITERA LEMBU KUNING FUJIAN

Khamis, September 04, 2008

| | |
'Fujian's yellow cattle re-enter the Malaysian market', demikian tajuk berita dalam Chinanews.Com pada 28 Februari 2007. Berita itu dipetik oleh dan disiarkan dalam laman web Singapore-China Economic & Trade Cooperation.

Gambar: Lembu betina Yellow Cattle
Sumber: http://www.angrin.tlri.gov.tw/english/grine/yellow-cattle.html)

Berita itu menyebutkan bahawa sebanyak 1,813 ekor lembu baka Zhangpu Yellow Cattle telah dihantar ke Malaysia. Seterusnya berita itu melaporkan bahawa lembu yang diternak di Zhangpu, Fujian dan diiktiraf sebagai baka lembu yang berkualiti tinggi oleh Kementerian Pertanian China itu pertama kali dieksport ke Malaysia pada tahun 2002.

Kita tidak pasti sama ada 1,813 ekor lembu itu merupakan lembu yang diimport oleh syarikat Kembar Teguh Sendirian Berhad dan dibekalkan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan pada bulan Februari 2007 di bawah Projek Pengeluaran Bibit dan Baka Ternakan Lembu jabatan berkenaan.

Namun Ketua Audit Negara, dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2007 - Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, melaporkan bahawa sebanyak 1,812 ekor lembu betina Yellow Cattle telah tiba di Pelabuhan Kuantan pada bulan Februari 2007 dan telah dihantar terus ke Pusat Ternakan Haiwan Jelai/Gemas di Negeri Sembilan tanpa terlebih dahulu dikuarantin selama 30 hari di pusat kuarantin milik pembekal.


Selanjutnya Ketua Audit Negara melaporkan bahawa 'semakan Audit terhadap Laporan Penilaian Fizikal dan Pengesanan Penyakit Lembu Yellow Cattle mendapati hanya sembilan daripada 1,812 ekor lembu yang dibekalkan itu telah memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan'.

Anehnya, menurut laporan Ketua Audit Negara itu lagi, kendatipun hanya sembilan ekor lembu Yellow Cattle yang menepati spesifikasi yang ditetapkan dan dipersetujui oleh pemesan dan pembekal, namun pemesan, yakni Jabatan Perkhidmatan Haiwan, telah membayar sejumlah RM3.19 juta kepada pembekal, syarikat Kembar Teguh Sendirian Berhad.

'Malah Pusat Ternakan Haiwan Jelai/Gemas juga terpaksa menanggung kos pengurusan 1,812 ekor lembu tersebut termasuk makanan, minuman, ubat-ubatan serta tenaga buruh dari tarikh ketibaan pada bulan Februari 2007,' kata Ketua Audit Negara lagi.

(Sumber: http://www.angrin.tlri.gov.tw/english/grine/yellow-cattle.html)

Akhirnya, kata Ketua Audit Negara, sebanyak 70 ekor daripada lembu tersebut terpaksa dihapuskan kerana mengidap sindrom brucellosis yang boleh menyebabkan keguguran kandungan serta dikhuatiri menyebarkan penyakit tersebut kepada ternakan lain.

Syarikat pembekal pula tidak dijangkiti apa-apa sindrom keguguran kerana kos penghapusan itu pun, kata Ketua Audit Negara, telah ditanggung oleh Pusat Ternakan Haiwan Jelai/Gemas.

Syarikat pembekal juga tidak akan dijangkiti sindrom bimbang kerana deposit cagarannya yang diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan hanyalah sebanyak RM145,000, tidak sampai separuh daripada RM310,000, yakni nilai cagaran yang sepatutnya dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia.

Demikianlah ceritera lembu kuning dari Fujian, China.