2021

2021
DARURAT COVID-19

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA - MEMORANDUM GAGASAN

Isnin, Disember 10, 2012

| | |

MEMORANDUM GAGASAN PENDIDIKAN MELAYU MALAYSIA KEPADA MENTERI PELAJARAN BERKENAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025


1.    PENGAMATAN UMUM

1.1.        Langkah Strategik Terpuji

Agenda transformasi pendidikan negara oleh Kementerian Pelajaran menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 merupakan langkah strategik terpuji. Kepujian ini meliputi tiga sudut.

Sudut pertama ialah keikhlasan pucuk pimpinan Kementerian Pelajaran menerima hakikat bahawa terdapat lompang yang luas dalam sistem pendidikan kebangsaan yang dapat merencatkan usaha meningkatkan daya saing negara di pentas global. Keikhlasan ini bukan sahaja mencetuskan usaha untuk menutup lompang tersebut, malah menganjakkan kualiti pendidikan kebangsaan ke tahap tinggi sebagaimana yang dicapai oleh negara-negara maju.

Sudut kedua ialah sifat pelan pembangunan ini sebagai pelan tindakan strategik yang komprehensif serta konkrit. Pelan ini bukan sekadar mewar-warkan tema, slogan dan matlamat yang umum, tetapi mencakupi outcome dalam bentuk anjakan yang diharapkan, fasa pelaksanaan dan petunjuk pencapaian.

Sudut ketiga ialah keberanian pucuk pimpinan Kementerian Pelajaran merundingi segenap lapisan masyarakat Malaysia dalam menyediakan Laporan Permulaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara. Seterusnya pucuk pimpinan Kementerian Pelajaran berani membentangkan dokumen tersebut kepada rakyat untuk dinilai dan dibahas. Keberanian ini tidak pernah diamalkan dalam sejarah penggumbalan polisi awam di negara

ini. Keberanian ini menepati maksud Program Transformasi Kerajaan dan gagasan 1Malaysia – ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.


1.2.        Obsesi ‘Daya Saing Global’ Meminggirkan Aspirasi Membina Jati Diri Bangsa Malaysia

Lompang besar yang sangat ketara dalam Laporan Permulaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ialah obsesi Kementerian Pelajaran untuk menjadikan sistem pendidikan kebangsaan sebagai alat menghasilkan warganegara berdaya saing global. Lantas rujukan utama laporan ini ialah prestasi anak muda Malaysia dalam pelbagai ujian serta pertandingan antarabangsa, prestasi penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran ICT dan kebolehan berfikir aras tinggi.

Obsesi ‘daya saing global’ tersebut menyebabkan aspirasi besar  perjuangan membina negara bangsa Malaysia terpinggir. Walhal pendidikan merupakan satu-satunya acuan dalam menentukan kehidupan dan rupa bentuk manusia yang ingin dilahirkan. Acuan inilah yang menentukan rupa bentuk, watak serta jati diri bangsa Malaysia.

Citra bangsa Malaysia telahpun digambarkan dengan jelas dalam teks Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Watak dan jati diri bangsa Malaysia ialah percaya dan patuh kepada Tuhan; berilmu pengetahuan; berketerampilan dalam segenap segi kehidupan; berakhlak mulia; bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara; memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu; dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Wajar dicatatkan bahawa konsep negara maju yang digarapkan dalam Wawasan 2020 tidak terhad kepada bidang ekonomi atau negara berpendapatan tinggi sahaja. Wawasan 2020 turut menegaskan bahawa model acuan Malaysia maju ialah “…negara yang membangun sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, politik, sosial, rohani, psikologi dan budaya”.

Sememangnya tempoh untuk merealisasikan Wawasan 2020 sangat singkat, namun dalam keghairahan untuk mencapai matlamat tersebut sistem pendidikan kebangsaan tidak wajar ditunggangi sebagai kilang penghasilan sumber manusia semata-mata. Komponen penting yang lain sosial, politik, moral, emosi, rohani wajib menjadi tonggak transformasi sistem pendidikan kebangsaan.


2.    CADANGAN

2.1.        Aspirasi sistem pendidikan kebangsaan hendaklah ke arah menghasilkan anak muda bangsa Malaysia berdaya saing, pendokong Rukunegara, pembina masyarakat demokratik yang matang dan warganegara patriotik.

Rasional

Misi pendidikan kebangsaan lebih besar daripada menghasilkan tenaga kerja yang mahir berbahasa Inggeris, mahir ICT dan berpemikiran aras tinggi. Sistem pendidikan kebangsaan bertanggungjawab terhadap perjuangan membina negara bangsa Malaysia, kelestarian negara bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat, dan keutuhan prinsip-prinsip Rukunegara.

Justeru pendidikan merupakan usaha membangunkan modal insan, maka setiap komponen sistem pendidikan kebangsaan wajib dijuruskan ke arah pembangunan jiwa, akal dan jasmani setiap murid. Kegagalan berbuat demikian mengundang risiko besar terhadap masa depan bangsa dan negara.

Hatta dewasa ini pun kita dapat menyaksikan dengan jelas kepincangan jati diri, pelakuan dalam masyarakat yang mengancam kesejahteraan hidup, dan tindakan yang mencabar asas-asas Perlembagaan Malaysia. Andainya hal-hal ini tidak dibendung dan ditangani dengan tuntas melalui pendidikan maka dibimbangi bahawa segala kemajuan yang telah serta bakal dicapai bertukar menjadi bencana. Kita mesti bertindak untuk mencegahnya sebelum terlambat.


2.2.      Kurikulum pendidikan kebangsaan hendaklah berorientasikan pendidikan untuk kelestarian pembangunan negara, bersifat luwes dan mengandungi unsur tempatan. Subjek dalam kurikulum sekolah rendah wajar dikurangkan dan unsur-unsur yang perlu dikekalkan hendaklah digabungjalin dalam sesuatu subjek.



Rasional

Kurikulum merupakan rancangan pembelajaran untuk menjayakan tujuan pendidikan. Justeru pentingnya kurikulum maka Akta Pendidikan 1996 menetapkan supaya sekolah menggunakan kurikulum yang sama yang dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan.  

Satu keunikan dalam Kurikulum Kebangsaan ialah sifat kesepaduannya sehingga dijenamakan sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Kedua-duanya menggunakan strategi menerapkan nilai murni merentas kurikulum. Walau bagaimanapun sifat kesepaduan ini tidak lagi diberikan perhatian, dan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan kurikulum standard, fokus terhadap kesepaduan digantikan dengan usaha membangunkan sumber manusia yang memiliki banyak ilmu dan kemahiran. Akibatnya Kurikulum Kebangsaan semakin sarat dengan pelbagai mata pelajaran, pelbagai kemahiran dan pelbagai pentaksiran. Akibatnya beban guru dan murid semakin berat. Akibatnya sekolah tidak lagi menjadi pusat pembelajaran yang menyeronokkan, tetapi pusat latih tubi yang memeritkan.

Keadaan menjadi lebih parah apabila kurikulum ditadbir secara berpusat oleh Kementerian Pelajaran, menjadikannya rigid, mengekang usaha memperkaya kurikulum dengan unsur tempatan dan merencatkan kreativiti guru dalam bilik darjah.

2.3.        Daya upaya guru hendaklah dibangunkan supaya mampu berperanan sebagai ahli profesional pendidikan yang penyayang dan transformatif.

Rasional

Tonggak gagal jaya sistem pendidikan ialah guru. Justeru misi sistem pendidikan kebangsaan ialah untuk mentransformasi setiap murid kepada insan mulia berketrampilan — sebagaimana yang dideskripsikan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan — maka guru wajib berperanan sebagai agen transformasi insan. Dalam masa yang sama, lantaran murid yang hendak ditransformasikan itu memiliki emosi, jiwa dan kalbu, maka guru harus mampu menyentuh emosi, jiwa dan kalbu muridnya. Hanya guru yang penyayang yang dapat menyempurnakan tanggungjawab ini.

Guru transformatif serta penyayang tersebut tidak terbentuk dengan sendirinya. Mereka mesti dibentuk menerusi program pendidikan dan latihan guru yang sistematik lagi berterusan. Oleh itu kurikulum pendidikan dan latihan guru hendaklah bertunjangkan pembinaan guru berwatak profesional keguruan, guru transformatif dan guru penyayang.

2.4.        Yayasan Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu hendaklah ditubuhkan untuk memajukan tahap pendidikan murid Islam dan memajukan tahap kerjaya masyarakat Islam.

Rasional

Pendidikan yang berkualiti menuntut kewujudan sekolah yang kondusif terhadap pembelajaran. Ini bermakna sekolah wajib dilengkapi dengan prasarana pembelajaran yang optimum bagi membolehkan guru melaksanakan tugasnya dan murid menjalani pembelajaran dengan berkesan.

Pada masa ini ‘sekolah yang kondusif  pembelajaran’ tersebut tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh murid di luar bandar, terutamanya murid di sekolah kebangsaan harian dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

SAR menyediakan pelajaran kepada anak-anak masyarakat Islam. Namun lazimnya SAR mengalami pelbagai kekangan seperti guru yang terlatih dan prasarana pembelajaran yang mencukupi. Subjek yang bercorak amali diajar secara teori kerana kekurangan peralatan. Akibatnya pengajaran dan pembelajaran menjadi kurang berkesan. Sekolah tidak berupaya menambah alat-alat keperluan atau menyediakan makmal kerana kekurangan sumber. Berbanding dengan sekolah di bandar, sekolah di luar bandar dan SAR sukar mendapat dana daripada ibu bapa dan masyarakat yang rendah tahap sosioekonominya.

Setiap murid di luar bandar dan di  SAR, seperti juga murid-murid lain dalam sistem pendidikan kebangsaan, berhak mendapatkan pembiayaan dan bantuan selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan. Wajar dinyatakan bahawa, dalam konteks gagasan 1Malaysia, pendemokrasian pendidikan bukan sekadar menjamin akses kepada pendidikan tetapi memastikan setiap murid memperoleh pendidikan yang berkualiti.

Oleh itu Kerajaan wajib mencari jalan, selain saluran Kementerian Pelajaran, untuk membantu murid di luar bandar dan di SAR. Salah satu sumber yang wajar digemblengkan ialah wang zakat dan harta wakaf umat Islam. Penggemblengan sumber ini dapat direalisasikan dengan  menubuhkan yayasan yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Matlamat khusus yayasan tersebut ialah untuk memajukan tahap pendidikan anak-anak masyarakat Islam dan memajukan tahap kerjaya guru-guru Islam.

2.5.        Sekolah antarabangsa dan home schooling hendaklah dimasukkan dalam sistem pendidikan kebangsaan dan hendaklah melaksanakan Kurikulum Kebangsaan.

Rasional

Selaras dengan dasar liberalisasi Kerajaan, pendidikan di negara ini menyaksikan trenda yang ketara ke arah perkembangan sekolah elitis dan eksklusif. Antaranya ialah perkembangan pesat sekolah antarabangsa dan percambahan home schooling. Kedua-dua sekolah ini tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu sekolah tersebut tidak tertuntut melaksanakan Kurikulum Kebangsaan dan tidak bertanggungjawab menterjemahkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Lantaran kos persekolahan di sekolah elitis yang mahal, maka sekolah-sekolah tersebut menjadi eksklusif untuk anak-anak golongan kaya dan anak-anak kaum tertentu. Impak daripada exclucivity ini ialah dikotomi dalam pengalaman pendidikan masyarakat Malaysia.

Fenomena ini sudah tentu bertentangan dengan mukaddimah Akta Pendidikan 1996 yang menyebutkan: ‘… dan bahawasanya pendidikan mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dan segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik…’

2.6.        Pengurus pendidikan pada peringkat Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran hendaklah terdiri daripada guru yang bertaraf pakar dalam bidang tugas masing-masing.

Rasional

Pengurusan polisi dan operasi pendidikan berbeza dengan pengurusan polisi dan operasi perkhidmatan awam yang lain. Justeru pendidikan merupakan usaha tranformasi modal insan yang bersifat dinamik, maka tonggak utama kemajuan polisi dan operasi pendidikan ialah keilmuan, kepakaran, kreativiti dan inovasi.

Oleh itu peranan utama pengurus pendidikan di Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran bukanlah sebagai pentadbir dan pengurus. Peranan utama mereka ialah pemimpin transformatif dan fasilitator efektif. Bagi melaksanakan peranan utama tersebut, para pengurus pendidikan wajib memiliki ilmu yang mendalam dan kepakaran yang tinggi dalam bidang tugas yang dipikulnya. Mereka juga wajib memiliki pengalaman yang luas sebagai guru mata pelajaran atau sebagai pengetua atau guru besar.


2.7.        Bahasa ibunda rakyat Malaysia, khususnya bahasa Mandarin dan bahasa Tamil hendaklah ditawarkan kepada semua murid.

Rasional

Selaras dengan tuntutan pendidikan kebangsaan untuk menjadikan sekolah sebagai agen perpaduan dan pembinaan negara bangsa Malaysia, maka sekolah wajar berfungsi sebagai pusat pembelajaran pelbagai bahasa ibunda etnik utama negara ini. Dengan menawarkan bahasa ibunda sesuatu etnik kepada murid etnik lain, akan mempertingkatkan komunikasi dua hala dan memperteguh penghayatan budaya bangsa Malaysia.

Daripada sudut fenomena globalisasi yang menuntut kompetensi bangsa Malaysia dalam komunikasi global dan perdagangan antarabangsa, penguasaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil merupakan sumber kekuatan daya saing bangsa Malaysia. Apatah lagi dengan trenda kebangkitan ekonomi di benua Asia yang diketuai oleh negara China dan India.




3.    PENUTUP

3.1.         Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 hendaklah berbentuk pelan tindakan strategik ke arah kecemerlangan pendidikan dalam konteks perjuangan membina negara bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
3.2.         Transformasi bukan bermaksud meruntuhkan tiang dan landasan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang terbukti utuh serta mampu menghasilkan modal insan yang berjaya menggerakkan rancangan pembangunan sosioekonomi negara.
3.3.         Transformasi bukan bermaksud untuk mengkesampingkan prinsip-prinsip asas Kurikulum Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Negara semata-mata untuk menyaingi pendidikan di negara-negara maju.
3.4.         Transformasi seharusnya memantapkan kerangka utama sistem pendidikan kebangsaan, menyatukan semua segmen pendidikan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan, menggalakkan kepelbagaian, kreativiti dan inovasi, dan menyampaikan pendidikan berkualiti kepada setiap murid.