2021

2021
DARURAT COVID-19

GAGASAN PENDIDIKAN MELAYU SANGGAH SIKAP RASIS DONG ZONG

Selasa, Disember 04, 2012

| | |

Teks penuh usul tergempar Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia yang diluluskan sebulat suara oleh perhimpunan agung pertubuhan itu pada 2 Disember 2012:

'MENYANGGAH TINDAKAN BIADAP PERTUBUHAN RASIS UNITED CHINESE SCHOOL COMMITTEES’ ASSOCIATION OF MALAYSIA (DONG ZONG)

TINDAKAN BIADAB PERTAMA: DONG ZONG MENIUP API PERKAUMAN SETIAP DUA BULAN SEKALI. Sepanjang tahun 2012 pertubuhan rasis Dong Zong mengelolakan lima siri perhimpunan bagi menyemarakkan api  perkauman dalam kalangan kaum Cina dengan berselindung di sebalik tabir isu pendidikan.

Kelima-lima perhimpunan berniat jahat tersebut – 25 Mac, 20 Mei, 29 Julai, 26 September, 25 November – dikelolakan oleh pertubuhan rasis Dong Zong setiap dua bulan sekali semata-mata untuk mengekalkan nyalaan api kemarahan kaum Cina kepada Kerajaan Malaysia serta menghasut kaum Cina supaya membenci Barisan Nasional.

Kelima-lima perhimpunan tersebut mewar-warkan retorik jahat bahawa Kerajaan pimpinan Barisan Nasional secara sistematik, semenjak merdeka, menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Walhal, semenjak merdeka, sekolah Cina dan sekolah Tamil berkembang pesat di seluruh negara serta memperoleh bantuan berterusan daripada Kerajaan dalam bentuk sumber kewangan, tenaga pengajar, tenaga pakar pendidikan dan latihan untuk pentadbir sekolah.

TINDAKAN BIADAB KEDUA: DONG ZONG MENYEBARKAN SLOGAN JAHAT ‘OBJEKTIF MUKTAMAD KERAJAAN MALAYSIA – SATU BAHASA, SATU ALIRAN SEKOLAH’. Pertubuhan rasis Dong Zong secara berterusan mendakwa bahawa bermula dengan Penyata Razak 1956, objektif muktamad Kerajaan ialah mewujudkan satu aliran sekolah sahaja, iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan hanya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Walhal Penyata Razak 1956 dengan tegasnya mentakrifkan sistem pendidikan kebangsaan terdiri daripada dua jenis sekolah – sekolah kebangsaan yang menggunakaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan  bahasa Mandarin atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar.

TINDAKAN BIADAB KETIGA: DONG ZONG MENYEBARKAN FITNAH BAHAWA KERAJAAN MENGABAIKAN HAK PENGGUNAAN BAHASA  IBUNDA  YANG  TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN NEGARA. Tanpa henti pertubuhan rasis Dong Zong menyemai fitnah ke dalam benak kaum Cina dan kaum India bahawa Kerajaan menyekat penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan.

Walhal tiada kerajaan di dunia selain Kerajaan Malaysia, serta kerajaan negara China dan kerajaan negara India, yang mengelolakan pendidikan menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar persekolahan. Kerajaan malah memaktubkan ketetapan berikut dalam Akta Pelajaran 1996:

·       Pendidikan bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa-bahasa kaum bumiputera hendaklah diadakan jika ibu bapa memintanya.
·       Menteri Pelajaran hendaklah menyenggarakan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.
·       Sekolah jenis kebangsaan ialah sekolah rendah yang menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar utama.
·       Menghapuskan kuasa Menteri Pelajaran membatalkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan yang diperuntukkan dalam Akta Pelajaran 1961.

TINDAKAN BIADAB KEEMPAT: DONG ZONG MENDAKWA KERAJAAN MELAKSANAKAN DASAR PENDIDIKAN SATU ALIRAN SEKOLAH YANG TIDAK SECOCOK DENGAN KEADAAN NEGARA. Pertubuhan rasis Dong Zong tanpa henti mendakwa bahawa Kerajaan melaksanakan dasar pendidikan satu aliran yang bertujuan melenyapkan bahasa dan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Walhal Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan jelas menyatakan kurikulum kebangsaan bertujuan mewujudkan perpaduan dan integrasi kaum menerusi pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan yang dapat mengembangkan potensi intelek, rohani, emosi dan jasmani murid.

Berpandukan dasar tersebut, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah persendirian Cina, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan persekolahan di rumah berkembang maju di negara ini.

Kerajaan malah memaktubkan peruntukan berikut dalam Akta Pendidikan 1996: ‘…bahawa murid harus dididik mengikut hasrat ibu bapa masing-masing’. Ini bermakna bahasa dan budaya pelbagai kaum di negara ini diterapkan dalam kurikulum kebangsaan dan dikembangkan menerusi sistem pendidikan kebangsaan.

TINDAKAN BIADAB KELIMA: DONG ZONG MENDAKWA PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 BERTUJUAN MELEMAHKAN PENDIDIKAN BAHASA IBUNDA DI SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN. Pertubuhan rasis Dong Zong menabur fitnah bahawa Kerajaan akan mengurangkan waktu pembelajaran bahasa ibunda untuk digantikan dengan pembelajaran Bahasa Kebangsaan suoaya identiti sekolah jenis kebangsaan terhapus.

Walhal sebenarnya Kerajaan bertekad membantu murid di sekolah jenis kebangsaan yang lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan supaya dapat belajar dengan jayanya apabila masuk ke sekolah menengah kebangsaan. Sebelum ini murid berkenaan dikehendaki mengikuti kelas peralihan yang menyebabkan mereka tertinggal setahun di belakang murid yang fasih berbahasa kebangsaan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 berhasrat membatalkan kelas peralihan supaya semua murid beroleh peluang pembelajaran yang sama.

TINDAKAN BIADAB KEENAM: DONG ZONG MEMFITNAH BAHAWA KERAJAAN MENYINGKIR SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA DARIPADA SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN. Pertubuhan rasis Dong Zong menanamkan kebencian kaum Cina dengan menggambarkan bahawa Kerajaan menghalang kemajuan murid yang belajar di sekolah menengah persendirian Cina.

Walhal semenjak merdeka, sejumlah 60 buah sekolah menengah persendirian Cina memilih untuk tidak menyertai sistem pendidikan kebangsaan. Pada tahun ini Kerajaan telah meluluskan dua buah lagi sekolah menengah persendirian Cina, satu di Pahang dan satu di Johor. Kerajaan juga tanpa henti memberi pelbagai bentuk bantuan kepada sekolah dan murid sekolah berkenaan.

TINDAKAN BIADAP KETUJUH: DONG ZONG MENGHASUT RAKYAT MALAYSIA SUPAYA MENOLAK PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025. Pertubuhan rasis Dong Zong menganjurkan perhimpunan pada 25 November 2012 untuk menolak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan alasan pelan tersebut menafikan hak pendidikan kaum Cina. Pertubuhan rasis Dong Zong mencerca maksud pelan tersebut untuk mempertingkat kualiti pendidikan kebangsaan sebagai tipu muslihat Kerajaan untuk memansuhkan sekolah jenis kebangsaan dan memansuhkan pendidikan bahasa ibunda.

Walhal Kerajaan menganjurkan sesi dialog secara terbuka dan secara tertutup dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan rasis Dong Zong, di seluruh negara bagi mendengar pandangan serta menerima memorandum berkenaan hala tuju pendidikan kebangsaan. Tiada sepatah perkataan dalam pelan tersebut yang menyebutkan bahawa sekolah jenis kebangsaan akan dihapuskan, pendidikan bahasa ibunda akan dimansuhkan dan usaha mempertingkat kualiti pendidikan hanya meliputi sekolah kebangsaan. Tiada sepatah perkataan dalam pelan tersebut yang menyatakan bahawa gerakan transformasi pendidikan kebangsaan hanya untuk faedah sesuatu kaum.

GAGASAN berpendapat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 merupakan pelan transformasi kualiti pendidikan kebangsaan yang merentasi kaum, anutan agama, lokasi, taraf sosioekonomi dan kepercayaan politik. Pelan transformasi ini akan mengangkat darjat pendidikan bangsa Malaysia di pentas antarabangsa. Pelan transformasi ini akan melestarikan pembangunan negara-bangsa Malaysia dan menyuburkan budaya semua kaum di negara ini.

Namun pertubuhan rasis Dong Zong memilih kaedah jijik dalam membincangkan hala tuju pendidikan negara. Pertubuhan rasis Dong Zong menyeret agenda murni hala tuju pendidikan negara ke kancah politik perkauman yang sempit.

TINDAKAN BIADAP KELAPAN: DONG ZONG MEMPELOPORI FAHAMAN RASIS DALAM PENDIDIKAN. Pertubuhan rasis Dong Zong mempamerkan wajah hitam perkaumannya dengan mendesak Kerajaan supaya tidak menempatkan guru Bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris yang tidak menguasai bahasa Mandarin. Ini bermakna guru bukan kaum Cina dihalang oleh Dong Zong daripada mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Tindakan biadap pertubuhan rasis Dong Zong ini sangat bertentangan dengan cita-cita pembangunan negara-bangsa Malaysia yang bersatu padu. Tindakan biadap pertubuhan rasis Dong Zong ini bertentangan dengan Mukaddimah Akta Pendidikan 1996 berikut:

‘Dan bahawasanya pendidikan mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dan segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik.’

Tindakan biadap pertubuhan rasis Dong Zong ini sekali gus menafikan hak murid di sekolah jenis kebangsaan Cina daripada mendapat perkhidmatan pendidikan oleh guru-guru yang berkualiti.

Perhimpunan Agung Tahunan GAGASAN kali kedua pada 2 Disember 2012 dengan sebulat suara membuat ketetapan berikut:

Menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan ilmu pengetahuan, yang beraspirasi membina negara-bangsa Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur, yang bertekad menjadi bangsa Malaysia yang maju serta berdaya saing di pentas global, bangkit serentak dan bangun sederap menyanggah tindakan biadap pertubuhan rasis Dong Zong.

Mendesak Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap pertubuhan dan kepimpinan Dong Zong yang tidak menghormati cita-cita perpaduan yang diikrarkan dalam Rukunegara, yang tidak menghormati keluhuran Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang Akta Pendidikan 1996 yang mengkanunkan sistem pendidikan kebangsaan, dan yang tidak mematuhi Perkara 2A Akta Pertubuhan 1966 yang menetapkan supaya setiap pertubuhan berdaftar dikelolakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.'