2021

2021
DARURAT COVID-19

MONYET BAKAL DATUK BANDAR PETALING JAYA?

Sabtu, November 17, 2012

| | |

'However, he (Encik Derek John Fernandez, Kaunselor Majlis Bandaraya Petaling Jaya) said with regards to the federal authorities' (Jabatan Perkhidmatan Awam) list of successors, "let's see who the candidates are.
If they are going to nominate some monkeys, we will reject." [Sumber: themalaymail 12/11/2011]. Berita penuh di sini.

[Terjemahan: 'Bagaimanapun, berkaitan dengan senarai pengganti yang dikemukakan oleh pihak berkuasa persekutuan (Jabatan Perkhidmatan Awam), beliau (Encik Derek John Fernandez, Kaunselor Majlis Bandaraya Petaling Jaya) berkata, "biar kita lihat siapa calon-calon tersebut. Jika mereka calonkan monyet, kita akan tolak."]

Laporan berita di atas berkaitan dengan hu-ha kenaikan pangkat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dato' Haji Mohamad Roslan Sakiman, sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bermula 1 Disember nanti.

Siapakah pengganti Dato' Haji Mohamad Roslan? Ketua Setiausaha Negara, Dato' Seri Ali Hamsa, dilaporkan sebagai berkata, "beberapa calon telah dikenal pasti."

Lantas Encik Derek John Fernandez, Kaunselor MBPJ, dilaporkan sebagai berkata, "pemilihan datuk bandar, termasuk perpindahan Dato' Haji Mohamad Roslan, hendaklah direstui oleh kerajaan negeri."

Encik Derek selanjutnya dilaporkan sebagai berkata, "biar kita lihat siapa calon-calon tersebut. Jika mereka calonkan monyet, kita akan tolak."


Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, jawatan datuk bandar adalah jawatan terbuka dan kerajaan negeri boleh melantik calonnya sendiri.

Sungguh bertuah MBPJ yang memperoleh khidmat Encik Derek sebagai salah seorang kaunselornya. Inilah yang diinginkan oleh penduduk Petaling Jaya, dan mungkin juga keinginan rakyat Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh pengundi Selangor meletakkan kaum bijak pandai dalam majlis-majlis kerajaan tempatan  di Selangor.

Encik Derek misalnya, merupakan lulusan perundangan Monash University, Australia  dan mengetuai firma guaman Fernandes & Selvarajah. Beliau juga ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perdagangan, Perbankang dan Korporat Majlis Peguam Malaysia. Dalam mahkamah tinggi negara ini, beliau ditauliah sebagai peguam cara dan peguam bela. Kepeguaman beliau turut diiktiraf oleh Mahkamah Agung Victoria dan Mahkamah Tinggi Australia.

Kebijaksanaan dan kepandaian ahli-ahli majlis kerajaan tempatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor bukan sekadar dalam aspek khidmat profesional. Mereka juga bijak dan pandai mengenal pasti calon-calon pegawai awam yang bakal dilantik oleh JPA - sama ada calon-calon tersebut manusia atau haiwan. Malah dalam kalangan calon-calon haiwan itu mereka dapat pula menentukan calon haiwan jenis monyet.

Namun begitu, dalam reaksinya, Dato' Seri Ali Hamsa dilaporkan oleh The Malaysian Insider sebagai berkata, "kami (pegawai awam) adalah manusia. Tiada monyet dalam kalangan kami. Saya tidak fikir kami wajar dilabelkan sebagai monyet". Berita penuh di sini.

Berkaitan dengan hal ini, semenjak merdeka hingga hari ini, tiada pula laporan yang pernah dicatatkan bahawa terdapat mana-mana ahli majlis kerajaan tempatan di mana-mana negeri yang dilantik oleh parti Barisan Nasional yang melabelkan pegawai awam sebagai monyet.


Sebaliknya Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, melafazkan pengiktirafan yang tinggi terhadap sumbangan pegawai awam negara ini.

Berikut ialah petikan ungkapan beliau pada 8 Mac 2012  di hadapan pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Besama Perdana Menteri di Putrajaya:

"Sejarah negara menyaksikan betapa pentingnya peranan para penjawat awam dalam setiap era sejarah negara.

Ketika era awal kemerdekaan di mana kita masih bertatih mencari-cari formula terbaik untuk membangunkan negara, ketika era darurat ,era konfrontasi, era insurgensi, era Dasar Ekonomi Baru, era perindustrian, era teknologi maklumat, semasa krisis kewangan, semasa kemelesetan ekonomi, pendek kata dalam semua fasa sejarah negara, kesemuanya mempunyai kesan sumbangan jasa dan khidmat bakti para penjawat awam.

Daripada peringkat Malaya sebagai sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada peringkat hari ini Malaysia sebuah negara perindustrian yang warga negaranya berpendapatan sederhana tinggi. Penjawat Awam juga akan terus memainkan peranan dalam usaha kita menelusuri wawasan kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi."

Selanjutnya pandangan mulia Kerajaan Barisan Nasional terhadap pegawai awam terserlah dalam ungkapan penutup Perdana Menteri pada majlis tersebut:


"Akhir kata saya berharap agar penjawat awam dapat terus bersama-sama Kerajaan bagi mencipta lebih banyak sejarah kejayaan dalam menuju masa depan Malaysia yang lebih baik untuk kita, keluarga dan anak-anak."

Baca teks penuh ucapan Perdana Menteri  di sini.