2021

2021
DARURAT COVID-19

KEPADA ALLAH KITA BERSERAH

Isnin, Oktober 01, 2012

| | |
Dato' Sri Mohd. Najib:

"166. Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan  dengan penuh  gempita menyalahkan orang lain.


167. Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia.  Malah, ada  di  kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu,    hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan.

168. Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan  melunaskannya  jika diberi kuasa sekarang.

169. Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri  pun  masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

170. Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana.


171. Kata Plato  “The measure of a man is what he does with power”. Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. Kerajaan BN, dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan.


“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”


172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan  kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak  lain yang ingin menjadi Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya.

173. Maka, saya  menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.

174. Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang  tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global.  Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina  sebuah  realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah. "

- Bahagian akhir Ucapan Bajet Tahun 2013 oleh Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 28 September 2012 di Dewan Rakyat. (Teks penuh di sini.)