PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA: PENENTU KEJAYAANNYA?

Rabu, September 12, 2012

| | |
Syabas rakyat Malaysia! Perdana Menteri Dato' Sri Mohd. Najib telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 untuk penelitian dan pandangan seluruh rakyat.


Dokumen ini mengandungi 'rancangan transformasi sistem pendidikan negara yang berhasrat tinggi, komprehensif, pantas dan berkekalan'. (Rujuk muka surat 8-1 dan 8-2)


Perdana Menteri pula berkata: '... rancangan tindakan ini menyediakan satu pelan transformasi yang pesat dan mampan dalam sistm pendidikan kita sehingga tahun 2025. Dari bagaimana kita mendekati pembelajaran pelajar, cara kita mengambil, melatih dan memberi ganjaran kepada guru-guru dan pengetua kita, sehinggalah bagaimana Kementerian Pendidikan itu sendiri beroperasi.'

Kata Perdana Menteri lagi: 'Transformasi sistem pendidikan bukannya satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran.' Baca sepenuhnya di sini.

Cabaran terbesar ialah mengenal pasti dan menggerakkan penentu kejayaan pelan transformasi tersebut.

Dalam konteks pendidikan, penentu kejayaan paling kritikal ialah pemimpin bilik darjah, pemimpin sekolah dan pemimpin strategik pendidikan.

Siapakah pemimpin bilik darjah? Guru. Peranan guru harus ditransformasikan daripada pengajar kepada pemudahcara pembelajaran. Semua guru wajib dianjakkan daripada guru biasa kepada guru cemerlang.

Siapakah pemimpin sekolah? Ketua guru - pengetua dan guru besar. Peranan ketua guru harus ditransformasikan daripada pentadbir sekolah kepada pemimpin pembelajaran. Semua ketua guru wajib dianjak daripada pengetua biasa dan guru besar biasa kepada pengetua cemerlang dan guru besar cemerlang.

Siapakah pemimpin strategik pendidikan? Ketua operasi - pegawai pendidikan daerah, pengarah pelajaran negeri dan ketua bahagian di Kementerian Pelajaran. Peranan mereka harus ditransformasikan daripada pengurus operasi kepada pemimpin transformatif. Tanggungjawab utama mereka ialah mentransformasi guru, ketua guru dan pegawai pendidikan sebagai pemimpin. Daya fikir semua ketua operasi wajib diangkat ke tahap daya fikir strategik aras tinggi.

Malangnya komponen 'penentu kejayaan paling kritikal pelaksanaan pelan pembangunan pendidikan Malaysia' tidak terdapat dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.

Tanpa komponen tersebut, saya bimbang, warga jentera pendidikan kebangsaan akan sesat dalam rimba rencana Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 setebal 273 muka surat itu.

Awas! Orang sesat tidak tahu di mana mereka berada dan tidak tahu di mana harus bermula.