2021

2021
DARURAT COVID-19

PTPTN

Selasa, April 10, 2012

| | |



Kerajaan Barisan Nasional mahu PTPTN kekal sebagai institusi pemberi pinjam wang kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Kerajaan Pakatan Rakyat (seandainya pakatan PKR, PAS dan DAP menang dalam PRU13 nanti) mahu hapuskan PTPTN.
Perbezaan pendirian antara kedua-dua parti politik tersebut menjadi polemik dalam masyarakat. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil inisiatif mengadakan sidang meja bulat NGO bagi menganalisis isu PTPTN itu. Antara NGO yang diundang ialah Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN). GAGASAN telah meminta saya menyediakan catatan pemikiran sebagai bahan untuk dikaji bagi dijadikan sudut pandangan pertubuhan itu dalam sidang meja bulat berkenaan.
Inilah catatan pemikiran saya berkenaan PTPTN:


1. PERSOALAN:
1.1. Apakah kerelevanan PTPTN?
1.2. Jika PTPTN relevan, apakah fungsinya?
1.3. Apakah peranan PTPTN dalam memartabatkan bangsa Melayu?
2. PENDAHULUAN
2.1. Tiga persoalan di atas wajar dikupas dalam rangka dan konteks yang jelas lagi konkrit serta terpisah daripada emosi dan sentimen. Rangka dan konteks itu menjadi asas kukuh kepada hujahan. Seterusnya asas yang kukuh itu dapat memudahkan penggubal dasar membuat keputusan yang wajar serta boleh dipertahankan.
2.2. Asas yang kukuh itu seterusnya menjadi panduan dalam memantau pelaksanaan sesuatu dasar kerana sering terjadi pelaksanaan sesuatu dasar tidak menjurus ke arah niat sebenar dasar itu digubal.
2.3. Asas yang kukuh juga menjadi rujukan apabila dasar yang telah dibuat itu hendak disemak semula atau digantikan dengan dasar baharu yang lebih menepati keperluan persekitaran baharu dalam sesuatu isu.
3. KONTEKS
3.1. PTPTN mengisytiharkan fungsinya sebagai institusi yang menguruskan pembiayaan untuk tujuan pendidikan tinggi. Oleh itu persoalan pembiayaan pendidikan tinggi wajar dikupas dalam konteks pendidikan.
3.2. Pendidikan, sama ada pendidikan sekolah atau pendidikan pascasekolah, samada pendidikan rendah atau pendidikan tinggi, bukan matlamat. Pendidikan ialah wahana pembangunan kemuliaan insan. Petunjuk kemuliaan insan ialah keupayaannya melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah pemakmur alam seisinya. Khalifah tersebut hanya berupaya memakmurkan alam jika beliau berkeupayaan menangani cabaran dan menjuarai persaingan dalam ruang khidmat baktinya sebagai khalifah. Ringkasnya khalifah pemakmur alam itu wajib memiliki daya saing yang tinggi dalam segenap aspek kehidupan.
3.3. Di Malaysia, dalam era gagasan 1Malaysia, pendidikan, antara lain, menjadi alat untuk merealisasikan aspirasi ‘Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi’. Aspirasi ‘negara maju berpendapatan tinggi’ juga bukan matlamat kerana ‘maju’ dan ‘berpendapatan tinggi’ adalah relatif serta skalanya sentiasa berubah mengikut kemajuan manusia seantero dunia. Apa yang kekal ialah peningkatan berterusan daya saing negara untuk memenangi segala bentuk persaingan di pentas kehidupan global. Oleh itu ‘negara maju berpendapatan tinggi’ harus dilihat sebagai strategi untuk meningkatkan daya saing negara supaya menjadi juara dalam segenap medan persaingan pada alaf baharu ini.
3.4. Pada masa ini petunjuk daya saing negara yang diterima oleh masyarakat dunia ialah Indeks Daya Saing Global atau Global Competitiveness Index (CGI) yang terkandung dalam Global Competitiveness Report keluaran World Economic Forum.
3.5. Dari tahun ke tahun, termasuk tahun 2012 ini, kemuncak senarai CGI didominasi oleh negara-negara yang dikelaskan sebagai innovation-driven economies atau ekonomi dorongan inovasi. Daya saing negara-negara berekonomi dorongan inovasi ini tidak bergantung kepada tenaga tulang urat penduduknya serta tidak bergantung kepada khazanah alamnya. Sebaliknya negara-negara tersebut memperoleh kekayaan dan ketinggian kualiti hidup, seterusnya memperkasakan daya saing mereka, daripada penjualan barangan serta perkhidmatan bernilai tinggi yang dijana oleh tenaga minda yang tinggi. Tenaga minda yang tinggi itu, yang dicirikan oleh daya kreativiti dan daya inovasi yang tinggi, dibentuk dan dibangunkan menerusi pendidikan yang berkualiti, terutamanya pendidikan tinggi.
3.6. Dapatan yang dipamerkan dalam Global Competitiveness Report 2012 jelas menunjukkan bahawa negara-negara berekonomi dorongan inovasi yang menguasai puncak CGI bukan sahaja bertungkus lumus membangunkan pendidikan tinggi yang tinggi kualitinya, malah dalam masa yang sama mereka sedaya upaya mengupayakan rakyatnya mendapat peluang menjalani pendidikan tinggi yang berkualiti itu. [Catatan: Pendidikan tinggi adalah sebahagian daripada pendidikan tertiari atau pendidikan pascasekolah.]
3.7. Perhatikan kadar enrolmen pendidikan pascasekolah atau pendidikan tertiari di negara-negara berekonomi dorongan inovasi di bawah:



NEGARA
KADAR ENLOMEN PENDIDIKAN TERTIARI
KEDUDUKAN DALAM SENARAI CGI 2012
Korea Selatan
98%
24
Finland
94%
4
Amerika Syarikat
83%
5
New Zealand
79%
25
Denmark
78%
8
Australia
77%
20
Sweden
71%
3
Singapura
64%
2
Belgium
63%
15
Kanada
62%
12
Israel
60%
22
Jepun
58%
9
Perancis
55%
18
3.8. Bandingkan petunjuk pendidikan tinggi di negara berekonomi dorongan inovasi tersebut dengan petunjuk yang sama di negara berekonomi dorongan tulang urat dan khazanah alam berikut:

NEGARA
KADAR ENLOMEN PENDIDIKAN TERTIARI
KEDUDUKAN
CGI 2012
Mesir
29%
94
Syria
27%
98
Indonesia
24%
46
Kuwait
19%
34
India
14%
56
Yemen
10%
138
Vietnam
10%
65
Ghana
9%
114
Bangladesh
8%
108
Nepal
6%
125
Pakistan
6%
118
Mozambique
2%
133
3.9. Petunjuk pendidikan tinggi dalam dua kelompok negara tersebut jelas menunjukkan bahawa daya saing sesebuah negara dipengaruhi oleh akses rakyat negara berkenaan dalam pendidikan tertiari. Malahan negara Kuwait yang GDP perkapitanya tinggi (lebih daripada US$36,000) dan berada pada kedudukan ke-21 dalam senarai GDP perkapita 142 negara, tidak dapat meletakkan dirinya pada kedudukan yang sama dalam senarai CGI 2012. Salah satu puncanya ialah akses yang rendah warganya dalam pendidikan tertiari.
3.10. Apakah maknanya fenomena ini? Untuk meningkatkan daya saing dan menjamin kejuaraan Malaysia dalam persaingan global yang semakin serakah dan getir, sekurang-kurangnya separuh daripada lepasan pendidikan sekolah wajib menjalani pendidikan tertiari. Pada masa ini kadar enrolmen pendidikan tinggi Malaysia, sebagaimana dilaporkan dalam Global Competitiveness Report 2012, ialah 37 peratus. Berbanding negara Korea Selatan, Malaysia berada lebih 60 langkah di belakang.
3.11. Petunjuk berikut mempamerkan tahap komitmen Malaysia berbanding Australia dan Taiwan dalam memastikan lepasan sekolah masing-masing menjalani pendidikan tertiari. (Malaysia, Australia dan Taiwan berada dalam kelompok yang sama dalam senarai jumlah penduduk 20-30 juta.)
NEGARA
KADAR ENROMEN PENDIDIKAN TERTIARI
KEDUDUKAN
CGI 2012
Taiwan
84%
13
Australia
77%
20
Malaysia
36%
21
3.12. Wajar dicatatkan di sini bahawa saiz ekonomi Australia (GDP perkapita US$55,590) jauh mengatasi saiz ekonomi Taiwan (GDP perkapita US$18,458). Namun komitmen Taiwan yang lebih tinggi daripada Australia dalam memastikan lepasan sekolahnya mendapat pendidikan tertiari berjaya meletakkan negara itu pada kedudukan yang lebih tinggi dalam senarai CGI 2012.
3.13. Dengan GDP perkapita sebanyak US$8,423, saiz ekonomi Malaysia lebih kecil berbanding Australia dan Taiwan. Bagaimanapun, daripada segi bilangan penduduk, Malaysia mengatasi kedua-dua negara tersebut.
NEGARA
PENDUDUK
(juta)
Malaysia
28
Taiwan
23
Australia
22
3.14. Dengan menggandakan komitmen dalam usaha meningkatkan akses lepasan sekolah terhadap pendidikan tertiari sekurang-kurangnya pada kadar enrolmen 50 peratus pancaran cahaya terang akan menyerlah pada penghujung terowong perjalanan yang telah diteroka selama ini. Malaysia telah berjuang dan berkorban selama 55 tahun untuk membolehkannya berada pada tahap ini hari ini. Mengapakah kita sangat berkira dan tiba-tiba menjadi akauntan bank yang menjuruskan penglihatan kepada aliran tunai pelaburan dalam pendidikan?
3.15. Persoalan yang lebih besar dan lebih mendesak di hadapan kita ialah bagaimanakah sumber kewangan negara yang ada pada hari ini dapat dijuruskan dengan lebih banyak untuk meletakkan lepasan sekolah ke dalam pendidikan tertiari, terutamanya sektor pendidikan tinggi?
4. PTPTN
4.1. PTPTN merupakan satu ikhtiar yang bijak dan wajar serta terserlah daripada komitmen Kerajaan untuk mendorong sebahagian besar rakyat supaya menjalani pendidikan tertiari.
4.2. Justeru pendidikan tertiari di Malaysia dilaksanakan secara bergandingan antara Kerajaan (Enrolmen IPTA 2010: 592,205 [52%]) dan swasta (Enrolmen IPTS 2010: 541,629 [48%]§), maka tujahan ikhtiar PTPTN ialah sektor pendidikan tertiari kelolaan swasta. (§Sumber: KPT, Indikator Pengajian Tinggi 209-2010)
[Catatan: Dalam konteks beban kewangan di bahu Kerajaan, penajaan pelajar di IPTS lebih rendah kosnya daripada membina dan mengurus IPTA serta menaja pelajar yang menuntut di IPTA.]
4.3. Tanggungjawab PTPTN ialah bagaimana mengagihkan wang negara yang diperuntukkan kepadanya dengan wajar, berkesan, adil dan saksama berpandukan prinsip integriti, akauntabiliti dan distributive justice. PTPTN turut bertanggungjawab menyusuli pengagihan wang negara tersebut supaya digunakan oleh penerimanya bagi maksud pendidikan dan sara hidup bagi menjalani pendidikan.
4.4. PTPTN tidak wajar dibebankan dengan tanggungjawab bagaimana untuk memungut balik wang yang diagihkan tersebut. Sudah ada organ negara Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang diwujudkan khusus untuk menjamin segala hasil perusahaan dapat menyumbang kepada kelestarian perbendaharan negara.
[Catatan: Model ini sama dengan Jabatan Kesihatan yang menyampaikan perkhidmatan kesihatan, Polis Diraja Malaysia yang menyampaikan perkhidmatan keamanan, Angkatan Tentera Malaysia yang menyampaikan perkhidmatan keselamatan negara dan Jabatan Perpaduan yang melaksanakan usaha menyatupadukan anggota masyarakat. Perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan tidak wajar dihitung dalam wang ringgit yang wajib dibayar balik oleh rakyat. Perkhidmatan-perkhidmatan tersebut membolehkan rakyat berfungsi secara produktif dalam penjanaan pembangunan, kekayaan dan kesejahteraan negara.]
4.5. Sudah dibuktikan bahawa warganegara yang ditaja untuk menjalani pendidikan tertiari itu akan memperoleh nilai, pengetahuan dan kemahiran baharu. Nilai, pengetahuan dan kemahiran baharu tersebut akan membolehkan mereka mengaplikasi kreativiti untuk menginovasi. Inovasi tersebut, sama ada berupa idea, barangan mahupun perkhidmatan, sudah pasti bernilai tinggi serta boleh bersaing dalam pasaran serantau dan antarabangsa. Seterusnya inovasi daripada rakyat yang berminda tinggi tersebut menjadi wahana penjanaan nilai untuk meningkatkan daya saing negara penjanaan pendapatan, penjanaan kekayaan dan penjanaan kualiti hidup.
4.6. Rakyat yang berminda tinggi itulah yang menjadi teras penganjakan Malaysia ke dalam kelompok ekonomi dorongan inovasi. Rakyat yang berminda tinggi itu adalah outcome daripada pendidikan tinggi.
4.7. Ringkasnya, prasyarat pencapaian aspirasi ‘Malaysia maju berpendapatan tinggi’ ialah pelaburan intensif dalam pendidikan, terutamanya pendidikan tertiari dan khususnya pendidikan tinggi. Pulangan daripada pelaburan tersebut bukanlah dalam bentuk bayaran balik daripada penerimaan pembiayaan. Pulangan pelaburan yang sebenar dan yang lebih besar magnitudnya ialah tenaga kerja beretika, berpengetahuan dan berkemahiran yang berupaya menyumbangkan kreativiti dan inovasi pada setiap peringkat perusahaan dan dalam segenap segi kehidupan pada alaf baharu ini.
4.8. Huraian ini menjawab persoalan (1.1) Apakah kerelevanan PTPTN? dan (1.2) Jika PTPTN relevan, apakah fungsinya? PTPTN bukan sahaja relevan malah sangat strategik dalam prakarsa Kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi. Maka fungsi tunggal PTPTN ialah membiayai warganegara yang berkelayakan melanjutkan pengajian dalam pendidikan tertiari. Dasar pembiayaan tersebut hendaklah mematuhi aspek ‘wajar, berkesan, adil dan saksama’ serta berpandukan prinsip integriti, akauntabiliti dan distributive justice.
5. MEMARTABATKAN BANGSA MELAYU
5.1. Bangsa Melayu (termasuk Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak) adalah tunjang keutuhan negara-bangsa Malaysia. Sekiranya tunjang ini lemah, prakarsa ‘Malaysia maju berpendapatan tinggi’ hanyalah dongengan moden. Dikatakan dongeng kerana sekiranya bangsa Melayu lemah, bermakna sebahagian penduduk Malaysia (50 peratus penduduk Malaysia ialah bangsa Melayu) terdiri daripada kumpulan yang lemah yang bukan sahaja tidak dapat menyumbang dengan berkesan kepada prakarsa 1Malaysia malah menjadi beban yang harus dipikul oleh sebahagian penduduk yang lain.
5.2. Dongengan ini jika menjadi kenyataan sekalipun akan mewujudkan kesenjangan sosioekonomi yang menjurus kepada kekacauan sosiopolitik yang rumit. Dalam konteks kemajmukan masyarakat Malaysia, kesenjangan sosioekonomi dan kekacauan politik tersebut akan mengakibatkan konflik kaum yang sukar ditangani. Impaknya ialah keruntuhan negara-bangsa Malaysia yang telah diperjuangkan kewujudan serta kelangsungannya zaman berzaman.
5.3. Oleh itu agenda pendidikan serta apa-apa sahaja ikhtiar yang terkait dengannya, termasuk pendidikan tertiari dan PTPTN, bertanggungjawab mempastikan tunjang negara-bangsa Malaysia itu kuat, mantap dan berkembang maju.
5.4. Salah satu petunjuk kekuatan, kemantapan dan kemajuan dalam era 1Malaysia ini ialah ‘rakyat berpendapatan tinggi’. Satu-satunya wasilah yang teruji mampu menggerakkan rakyat termasuk indvidu bangsa Melayu daripada lapisan berpendapatan rendah ke lapisan berpendapatan tinggi ialah pendidikan tertiari. Perhatikan graf di bawah:


5.5. Graf di atas dengan jelas menunjukkan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan tertiari seseorang, semakin tinggi peluangnya untuk memperoleh pendapatan tinggi.
5.7. Barang diingat bahawa peluang untuk memperoleh pendapatan bulanan purata yang melebihi RM4,000 itu sangat tipis sekiranya individu bangsa Melayu itu tidak memiliki kelayakan pendidikan tertiari yang tinggi. Laporan Eksekutif Kajian Pengesanan Graduat IPT 2010 menunjukkan bahawa peluang individu yang berkelayakan sijil untuk memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan ialah 0.4 peratus. Perangkaan berikut menunjukkan peluang graduat memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan berdasarkan kelayakan pendidikan tertiari.
KELAYAKAN PENDIDIKAN TERTIARI
PELUANG MEMPEROLEH
PENDAPATAN BULANAN
MELEBIHI RM3,000
Phd.D
92%
Sarjana
60%
Sarjana Muda
17%
Diploma
1%
Sijil
0.4%
5.8. Ringkasnya, peluang untuk individu bangsa Melayu memperoleh pendapatan yang tinggi akan terbuka dengan lebih luas apabila beliau memiliki kelayakan pendidikan tertiari yang tinggi, sekurang-kurangnya pada aras ijazah pertama. Oleh itu bangsa Melayu wajib didorong dengan lebih intensif supaya menjalani pendidikan tertiari, terutamanya pendidikan tinggi.
5.9. Institusi pembiayaan pendidikan tertiari, sama ada PTPTN mahupun institusi-institusi lain, hendaklah diperteguhkan supaya berupaya membiayai lebih banyak bangsa Melayu pascasekolah agar menyertai latihan dan pengajian dalam sektor pendidikan tinggi.
6. RUMUSAN
6.1. Prakarsa 1Malaysia untuk melonjakkan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi bergantung kepada pelaburan yang intensif dan bersungguh-sungguh dalam pendidikan tertiari sebagaimana yang diamalkan oleh negara yang sudah pun mencapai aras negara maju berpendapatan tinggi.
6.2. Institusi pembiayaan pendidikan tinggi, termasuk PTPTN, hendaklah dipermantapkan keupayaannya menaja pelajar pendidikan tertiari serta mempastikan usaha penajaannya itu wajar, berkesan, adil dan saksama.
6.3. Institusi pembiayaan pendidikan tinggi, termasuk PTPTN, hendaklah mempertubikan usaha mendorong dan menaja bangsa Melayu supaya menjalani pendidikan tertiari sehingga beroleh kelayakan pendidikan yang setinggi-tingginya.