2021

2021
DARURAT COVID-19

DAULAT TUANKU!

Isnin, Julai 04, 2011

| | |

TITAH KHAS YANG DIPERTUAN AGONG
TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN
- 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”. Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara".

Sumber: Bernama .com 3 Julai 2011.

CATATAN:

1) Maksud peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran', mengikut Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, ialah keuntungan yang diharapkan tidak diperolehi, sedangkan yang telah ada hilang pula.

2) Peribahasa lain yang sama makna dengan peribahasa ini ialah 'putih dikejar, hitam tak dapat'.

3) Peribahasa yang hampir sama makna dengan peribahasa ini ialah 'memilih tebu dapat teberau'. Maksudnya terlampau sangat menghendaki yang baik akhirnya mendapat yang buruk. Teberau ialah sejenis rumput yang tinggi yang batang dan daunnya menyerupai pokok tebu. Teberau tidak bergula dan hanya sesuai menjadi makanan lembu dan kerbau.

4)Terdapat pantun Melayu yang berkaitan dengan peribahasa ini:

"Anak ndong anak ketitir,

anak merbah terloncat-loncat;

untung dikendong habis tercicir,

untung dikejar haram tak dapat."