2021

2021
DARURAT COVID-19

SUSAH SANGATKAH ISYTIHAR HARTA?

Jumaat, Jun 24, 2011

| | |


'3,900 PEGAWAI KASTAM BELUM ISYTIHAR HARTA', demikian tajuk laporan Utusan Malaysia Online 24 Jun 2011. Jumlah tersebut merupakan 30 peratus daripada keseluruhan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM). Laporan penuh di sini.

Pegawai KASTAM yang dikatakan membuat kenyataan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Datuk Khazali Ahmad.

Hari ini pula Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Kastam Semenjung Malaysia, Ibrahim Ahmad, dilaporkan sebagai berkata bahawa kebanyakan pegawai yang gagal mengisytiharkan harta tersebut merupakan pegawai-pegawai muda yang sememangnya tidak mempunyai harta disebabkan baru bertugas dengan agensi itu. Laporan penuh di sini.


Ibrahim Ahmad selanjutnya dilaporkan sebagai berkata: "Pegawai-pegawai berkenaan tidak mengisi borang pengisytiharan harta kerana berpendapat mereka tidak perlu berbuat demikian disebabkan mereka tidak mempunyai harta untuk diisytiharkan."

Jika benarlah penjelasan Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Kastam Semenjung Malaysia itu, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan organisasi KASTAM.


Setahu saya, dalam mana-mana organisasi, apatah lagi organisasi awam, setiap pegawai ada ketuanya. Walaupun baru bertugas sehari, seseorang pegawai menerima bimbingan dan arahan daripada ketuanya.


Ketua, walaupun usianya masih muda, merupakan pegawai yang berpengalaman dan arif terhadap peraturan serta etika perkhidmatan. Termasuk dalam peraturan dan etika perkhidmatan awam ialah kewajiban mengisytiharkan harta. Sekiranya pegawai KASTAM yang masih muda itu tidak mengetahui atau keliru berkenaan tanggungjawab asas ini, maka sudah pasti beliau tidak mendapat bimbingan dan arahan yang baik daripada pegawai KASTAM yang menjadi ketua itu. Pegawai KASTAM ketua tersebut mesti bertanggungjawab terhadap kejahilan dan kekeliruan pegawai muda pimpinannya.

Mungkin juga pegawai KASTAM ketua itu tidak pernah mengisytiharkan harta kerana beliau pun tidak memiliki harta untuk diisytiharkan. Namun, mana mungkin pegawai awam yang tidak pernah mengisytiharkan harta dapat menjawat jawatan ketua. Demikian juga sukar untuk memikirkan pegawai KASTAM berjawatan ketua tidak memiliki harta, walaupun RM10 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera atau RM1 dalam buku akaun bank pintu masuk gaji bulanannya. Seringgit itu pun harta!


[Catatan kenangan: Saya bertugas sebagai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1983 hingga 1987. Jawatan guru tidak sensitif dalam hal-hal harta ini kerana sukar bagi guru memperoleh sumber pendapatan lain kecuali gaji bulanannya.

Sepanjang tempoh itu harta yang saya kumpul, selain sebuah mesin taip, buku rujukan dan pakaian yang saya beli untuk bertugas sebagai guru, ialah baki gaji bulanan tersebut dalam akaun bank. Saya tidak memiliki kereta atau motosikal atau basikal. (Harta tambahan setelah dapat gaji pertama: Sebuah televisyen warna saiz skrin 14 inci jenama National Quintrix yang saya beli dengan duit main kutu sesama warga bilik guru.)

Pada masa itu sangat sukar untuk membeli kereta, sama ada kereta baharu atau kereta terpakai. Ketua saya memberitahu 'cikgu tidak layak memohon pinjaman Kerajaan untuk membeli kereta'. Syarikat kewangan pula meminta pendahuluan sepertiga daripada harga kereta yang hendak dibeli!

Saya juga tidak membeli rumah. Keperluan untuk membeli rumah pun tidak timbul kerana sekolah menyediakan rumah guru.

Ringkasnya, selain baki gaji bulanan, saya tiada harta. Pun begitu, pada hari saya melapor diri bertugas di Kolej Melayu Kuala Kangsar, ketua saya memberitahu dengan tegas dan jelas, bahawa sebagai penjawat awam saya wajib mengisytiharkan harta. Beliau mengulangi pemberitahuan tersebut pada setiap awal tahun dan menegaskan bahawa laporan nilaian prestasi tahunan saya tidak lengkap tanpa disertakan dengan borang pengisytiharan harta yang lengkap diisi.

Barangkali ketua saya itu dapat memberikan taklimat, bimbingan dan arahan dengan jelas kerana beliau juga guru. Tegas ketua saya itu: 'Baki yang seringggit dalam buku akaun bank itu pun harta, dan wajib diisytiharkan."

Justeru saya, walaupun masih muda dan mentah serta tiada harta selain baki gaji bulanan, mudah memahaminya dan mudah pula melaksanakannya.]

Berbalik kepada KASTAM. Setahu saya, setiap tahun setiap jabatan Kerajaan membelanjakan sejumlah wang untuk melatih pegawai-pegawai, sama ada pegawai tinggi, pegawai kanan, pegawai rendah, pegawai usang dan pegawai baharu. Pegawai baharu yang baru melaporkan diri untuk bertugas diwajibkan menjalani kursus orientasi. Antara kandungan kursus itu ialah penerangan berkenaan peraturan-peraturan dan etika perkhidmatan awam, termasuk kewajiban mengisytiharkan harta setiap tahun atau apabila harta seseorang pegawai bertambah.

Sekiranya benar penjelasan Ibrahim Ahmad bahawa pegawai KASTAM muda tersebut 'berpendapat mereka tidak perlu berbuat demikian disebabkan mereka tidak mempunyai harta untuk diisytiharkan', maka ada sesuatu yang tidak kena dalam pengendalian kursus orientasi KASTAM sehingga pegawai-pegawai muda berkenaan berpendapat demikian. Pegawai KASTAM ketua mesti bertanggungjawab terhadap sesuatu yang tidak kena dalam pengendalian kursus orientasi itu.

Ironinya, visi KASTAM, sebagaimana yang tertera pada laman webnya ialah 'Menjadikan Perkhidmatan Kastam Malaysia Bertaraf Dunia Pada Tahun 2015'. Sukar untuk difikirkan bagaimana KASTAM boleh mencapai taraf dunia walhal untuk memahami dan memberi faham peraturan dan etika asas perkhidmatan awam pun mereka gagal.

Etika perkhidmatan KASTAM pula diringkaskan sebagai ABID, iaitu 'Amanah Berkhidmat Ikhlas Dedikasi'.

Abid sebagai satu perkataan bermaksud 'orang yang menghambakan diri kepada Allah dengan beribadat kepada-Nya'. Orang yang menghambakan diri ialah orang yang taat dengan penuh kerelaan. Abid tidak mengengkari ketetapan Tuhan dan sentiasa mencari jalan dan berikhtiar untuk membuktikan ketaatannya kepada Tuhan. Lintasan hati, pengucapan dan perbuatan abid tiada lain maksud dan tujuannya kecuali untuk mentaati perintah Tuhan.

Semoga pegawai KASTAM - pegawai ketua, pegawai tua dan pegawai muda - tidak menjadikan etika ABID itu sebagai etika olok-olok untuk pameran pada laman webnya. Nanti etika itu menjadi bahan ketawa masyarakat sahaja.

Pegawai KASTAM wajib mengamalkan etika tersebut, mempamerkannya dalam tingkah laku semasa bekerja dan semasa tidak bekerja, dan menjadikannya sebagai sumber kekuatan untuk merealisasikan visi besar: 'Perkhidmatan Kastam Malaysia Bertaraf Dunia Pada Tahun 2015'.