2021

2021
DARURAT COVID-19

ULASAN BUKU: HALUAN KERJA PENDIDIKAN

Jumaat, April 08, 2011

| | |

Judul: Haluan Kerja Pendidikan–Merealisasikan Agenda Transformasi Negara
Penulis: Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Jumlah halaman: 124
Tahun terbitan: 2011
ISBN: 978-983-43018-3-5
Penerbit: Kementerian Pelajaran Malaysia
Pengurus penerbitan dan pengedaran: Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (Telefon: 03-83217010)


Lapan belas tahun yang lalu, Datuk Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin menyahut seruan Wawasan 2020 oleh Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan membentangkan kerangka tindakan beliau sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia menerusi buku Wawasan Pendidikan - Agenda Pengisian.

Semenjak itu Wawasan Pendidikan menjadi satu-satunya buku yang membekalkan idea rujukan kepada kaum guru dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik modal insan untuk menggerakkan Malaysia ke arah wawasan negara maju menjelang tahun 2020.

Tiada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia selepas Dr. Wan Mohd Zahid yang menggarap agenda baharu pengisian wawasan sehinggalah Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menganjurkan falsafah 1Malaysia pada 3 April 2009 dan Datuk Abd. Ghafar Mahmud dilantik menjadi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 8 November 2010.

Datuk Abd. Ghafar mengambil inisiatif menyambung agenda pengisian wawasan Dr. Wan Mohd Zahid dengan menggarap prinsip kerja dan tekad menyampaikan pendidikan cemerlang menerusi bukunya Haluan Kerja Pendidikan - Merealisasikan Agenda Transformasi Negara.

Haluan Kerja Pendidikan mengandungi idea inovatif Dato’ Abd. Ghafar sebagai ketua operasi jentera pendidikan kebangsaan untuk menggembleng tenaga profesional pimpinannya, khususnya kaum guru, bagi menjulang falsafah 1Malaysia dan mempamerkan kepada masyarakat bahawa penyumbang terbesar dan terbaik kepada agenda transformasi negara ialah kaum pendidik dan jentera pendidikan kebangsaan.

Sebagaimana Wawasan Pendidikan, buku Haluan Kerja Pendidikan bukan catatan impian atau bicara retorik Ketua Perkhidmatan Pendidikan.

Haluan Kerja Pendidikan mengemukakan kerangka tindakan responsif terhadap fenomena baharu sejagat, acuan untuk menempa juara perubahan, resepi bekerja aras cemerlang, program untuk menterjemah agenda ‘rakyat didahulukan’, dan inovasi pengajaran dan pembelajaran untuk melaksanakan agenda ‘pencapaian diutamakan’.

Dalam bab 3 misalnya, menerusi tema Tuntutan terhadap jentera pendidikan, Dato’ Abd. Ghafar membentangkan Prinsip Kerja X-PLUS:

“Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP dan ETP: memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence), berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan. Prinsip kerja X-PLUS.” (Muka surat 43.)

Jelas kelihatan dalam buku ini Dato’ Abd. Ghafar mengerah pengalaman profesional beliau sebagai guru, pengetua dan pengurus pendidikan selama 33 tahun serta latihan intensif kepimpinan yang beliau terima menerusi The Oxford Strategic Leadership Programme di Universiti Oxford, United Kingdom untuk mengajak dan merangsang daya juang kaum guru menggalas agenda transformasi negara, menempa modal insan berdaya saing, berikhtiar membantu kerajaan menjadikan Malaysia negara berekonomi pendapatan tinggi, dan menjamin kelestarian jati diri bangsa Malaysia.

Beliau seterusnya mengajak kaum guru mempamerkan watak profesional dan mengingatkan mereka berkenaan ungkapan guru ulung dan pemikir besar Imam Al-Ghazali:

“Maka benarlah ungkapan Al-Ghazali lebih 900 tahun yang lalu, kira-kira maksudnya: Bagi ilmu pengetahuan ada lima keadaan. Mencari, berusaha dan menghasilkan, yang tidak memerlukan lagi kepada bertanya. Meneliti, iaitu berfikir mencari yang baharu dan mengambil faedah daripadanya. Dan keadaan memberi sinar cemerlang kepada orang lain. Dan inilah keadaan yang semulia-mulianya. Maka barangsiapa berilmu, beramal dan mengajar, maka dialah yang disebut orang besar dalam alam malakut tinggi. Dia laksana matahari yang menyinarkan cahayanya kepada orang lain dan menyinarkan pula kepada dirinya sendiri. Dia laksana kasturi yang membawa keharuman kepada lainnya dan dia sendiripun harum.” (Muka surat 25).
Dalam prakatanya kepada buku ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin mencatatkan rumusan berikut:

“Inilah inti pati gagasan pemikiran dan tekad bekerja Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, yang dibentangkan dalam buku Haluan Kerja Pendidikan – Merealisasikan Agenda Transformasi Negara.

Gagasan pemikiran bagi menyatukan tumpuan dan tujahan warga profesional Kementerian Pelajaran Malaysia supaya berupaya bangun sederap dan bergerak seiringan dengan agenda besar transformasi negara menerusi pembinaan tunas modal insan berpengetahuan aras tinggi, berpemikiran aras kreatif, berkemahiran aras inovatif, berjiwa patriotik dan bersahsiah mulia.”

Dato’ Abd. Ghafar menamatkan catatan gagasan pemikiran Haluan Kerja Pendidikan dengan pesanan ikhlas sebagai Ketua Perkhidmatan Pendidikan:

“Sesungguhnya kerja besar menterjemahkan agenda besar transformasi negara ini bukan alang kepalang beratnya dan bukan calang-calang orang mampu menyempurnakannya. Justeru kerja pendidikan ini melibatkan jutaan murid yang berlainan paras rupa dan berbeza usia, jutaan ibu bapa yang berlainan cita rasa, ribuan cendekiawan yang bijak bermain bahasa dan ribuan orang yang pandai berkata-kata, maka guru, pengurus guru dan ketua guru hendaklah sentiasa menjaga air muka, mengawal amarah rasa, menyantunkan kata bicara, dan sentiasa bersabar dalam kerja usaha.”