Akhirnya pemilik 'Arca Kebanggaan Anak Melayu', Dato' Seri Mohamad Khir Toyo didakwa di mahkamah. Ekoran daripada itu beliau juga meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor. Saya pernah menurunkan catatan dalam blog ini berkenaan 'arca' tersebut pada 7 Julai 2009.
Demikianlah harga yang harus dibayar dan risiko yang harus ditanggung oleh seseorang yang menduduki jawatan tinggi, terutamanya jawatan awam yang imbuhannya dibayar oleh rakyat. Inilah pengajaran kepada pembesar-pembesar negara. Bahawa mereka melihat dengan dua mata dan mendengar dengan dua telinga, tetapi diperhatikan oleh mata rakyat jelata yang berjuta-juta banyaknya. Percakapan mereka juga didengar oleh berjuta-juta telinga.
Nampaknya menjadi kecenderungan yang tidak serik-serik dalam kalangan pembesar kita untuk mengumpul harta sebanyak-banyaknya dan membina singgahsana sebesar-besarnya tatkala menduduki kerusi milik rakyat. Walhal merekalah yang beria-ia dan bersungguh-sungguh menasihati rakyat supaya hidup bersederhana, bersyukur dengan apa yang ada, tidak membazir dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaan.
Bagaimanapun TAHNIAH kepada Dato' Seri Khir kerana pernah menjawat jawatan menteri besar dan tatkala menduduki kerusi besar tersebut dapat pula membeli rumah besar. Tahniah atas jiwa besar beliau meletak jawatan ketua pembangkang tanpa disuruh oleh ketua besar parti beliau.
p/s Catatan akhir saya pada 7 Julai 2009 berbunyi begini: 'Alangkah bangganya sekiranya semua anak Melayu mencapai tahap kejayaan sebagaimana yang dinikmati oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir. Impian saya pun serupa, namun belum tercapai'. Nampaknya saya terpaksa berpuas hati dengan sarang merpati dua bilik tidur di flat kos rendah seperti di bawah. Lebih besar dan lebih tinggi daripada rumah yang menyeret ahli politik itu ke mahkamah!