Selamat Hari Malaysia. Sepatutnya saya merakamkan ucap selamat ini pada 16 September sempena kelahiran Malaysia pada 16 September 1963. Namun dek hiruk-pikuk sambutan 'Aidilfitri, ucap selamat ini terlambat sehari. Maafkan saya. Biar lambat, jangan tidak.
Indahnya kita orang Malaysia, khususnya orang Melayu, apabila mengucapkan kegembiraan bagi apa-apa jua sambutan dan perayaan, memulakannya dengan kata 'selamat'. Selamat pagi, selamat malam, selamat hari merdeka, selamat hari raya, selamat datang, selamat tinggal, selamat pengantin baru dan selamat hari jadi.
Keindahan ini sebenarnya bukan sesuatu yang dipura-purakan sebagai pemanis mulut, tetapi terbit daripada jiwa nubari bangsa Melayu yang sentiasa mengutamakan keselamatan diri sendiri dan sentiasa juga memohon keselamatan untuk orang lain, tanpa mengira keturunan, agama dan darjat kedudukan.
Pengutamaan kepada 'keselamatan' yang mengurat dan mengakar dalam jiwa nubari bangsa Melayu inilah yang membolehkan sesiapa jua dari mana-mana jua boleh bertamu, mencari rezeki, menetap dan menjadi warga negara ini dengan selamatnya.
Lebih daripada itu pun bangsa Melayu menyanggupinya, asal selamat. Pendatang, apapun keturunannya dan apapun agamanya - atas semangat selamat dunia akhirat - boleh menjadi tuan dan pemerintah. Setakat ini, sehingga 16 September 2010 ini, yang belum disanggupi Melayu ialah menyerahkan takhta raja-rajanya kepada keturunan lain selain anak rumpun Melayu. Itupun, arakian raja-rajanya menikahi perempuan apa-apa bangsa pun, Melayu rela pasrah menerimanya sebagai 'tuanku'.
Demikianlah pengutamaan Melayu kepada keselamatan dirinya dan diri manusia sekelilingnya. Selamat Hari Malaysa, moga-moga selamatlah bangsa Malaysia sehingga penghujung zaman kehidupan.