2021

2021
DARURAT COVID-19

PATAH SAYAP BERTONGKAT PARUH

Khamis, Januari 14, 2010

| | |

Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertelekan, patah tongkat berjermang. Peribahasa Melayu ini tidak pernah diketahui oleh Peng Shuilin, pemuda Tionghoa di negara China. Namun beliau telah mempamerkannya dalam dunia nyata.

Peng Shuilin dilahirkan sempurna di Hunan, mendewasa sebagai lelaki segak dan sasa, dan merantau mencari rezeki ke bandar Shenzen, Guandong pada tahun 1995. Namun jasadnya hilang separuh setelah ditimpa kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke tempat kerja di bandar itu pada 9 Mac 2004. Kemalangan tersebut melantarkan Shuilin di Hospital Bujie, Shenzen selama dua tahun dan semua anggotanya dari pinggang ke bawah telah dipotong.


Berpantang maut sebelum ajal. Selain membuang semua anggota yang remuk, para doktor juga telah melakukan beberapa siri pembedahan untuk merawat dan menyusun atur organ-organ dalaman Shuilin supaya sistem pernafasan, penghadaman, dan perkumuhan beliau terus berfungsi dengan sempurna. Shuilin pulih walaupun jasadnya tinggal dua hasta. Malah beliau disahkan lebih cergas daripada lelaki yang sebaya dengannya.



Kecekalan Shuilin untuk hidup dan mengharungi kehidupan bermaruah tanpa menagih ehsan orang lain telah merangsang pakar-pakar di Hospital Bujie dan Pusat Penyelidikan Rehabilitasi China, Beijing memikir dan merencana tindakan bagi mengupayakan semula anak muda ini sebagai warga yang produktif.


Kekuatan dua bahu, lengan dan tangan Shuilin dipugar dan diperteguh. Sepasang kaki bionik direka cipta dan Shuilin dengan sabar bertatih menjadikan kerangka logam itu sebagai kaki barunya.


Kekentalan semangat dan kekuatan mental Shuilin berupaya menjinakkan kaki bionik yang tidak bersaraf itu untuk tunduk pasrah membawa Shuilin ke mana-mana yang diingininya.

Bagai benih lalang yang bercambah di celah rekahan kerikil setelah disiram air dan disimbah cahaya, akarnya pantas menerobos ke dalam bumi, pucuknya deras menjulang langit, demikian juga Shuilin. Tegak berdiri, sasa melangkah.



Jasad Peng Shuilin hanya separuh daripada manusia biasa yang sempurna, namun jiwanya mantap dan keazamannya mapan. Beliau bukan sahaja mampu ke sana-sini memberikan kuliah motivasi kepada insan yang mahu bangkit dari kecacatan anggota akibat kemalangan, malah berjaya pula menjadi usahawan dagang. Peng Shuilin telah membuka pasar rayanya sendiri, Half Man-Half Price Store.

Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertelekan, patah tongkat berjermang. Itulah Peng Shuilin.