2021

2021
DARURAT COVID-19

KETUA PEMUDA UMNO PASIR MAS YANG BERJIWA BESAR

Selasa, Februari 24, 2009

| | |

Syabas kepada Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas, Najib Rashdan Abdul Rahman yang berjiwa besar. Beliau telah mencadangkan agar Datuk Ibrahim Ali diterima semula sebagai ahli UMNO. Syabas kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong cadangan tersebut. (Laporan penuh Utusan Malaysia.)

Syabas juga kepada Datuk Ibrahim Ali kerana kelarisan beliau dalam pasaran politik semasa. Beliau juga begitu pandai bermain kata-kata. Utusan Malaysia melaporkan:

'Terima kasih sajalah, saya tak minat pun nak masuk mana-mana parti buat masa sekarang.

Itu jawapan ringkas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ibrahim, beliau tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti sama ada UMNO atau Pas sekalipun, malah lebih senang bergerak atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas.

"Siapalah Ibrahim Ali di mata mereka tu, namun saya mengucapkan terima kasih di atas semua pelawaan itu.

"Apa pun keadaannya saya lebih suka bergerak sendiri dan mahu menumpukan kepada tugas di Parlimen Pasir Mas selain memperjuangkan agenda orang Melayu dan Islam setakat termampu," katanya. (Laporan penuh.)


(Datuk Ibrahim Ali. Sumber: Agenda Daily)

Suatu hari yang masih siang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, tatkala Datuk Ibrahim masih mengetuai UMNO Pasir Mas dan sedang bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya umum, beliau pernah berkata kepada saya, lebih kurang begini: "Kawe (saya) boleh menang jika tidak bertanding sebagai calon BN (Barisan Nasional)."

Beliau telah menyertai pilihan raya umum itu sebagai calon Barisan Nasional, juga sebagai Ketua UMNO Pasir Mas, Senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan tewas. 

Beliau kemudiannya menyertai pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir sebagai calon bebas berlambang payung menentang calon Barisan Nasional dan calon PAS. Beliau juga tewas dan hilang wang pertaruhan.

Pada pilihan raya umum yang baru lalu, Datuk Ibrahim sekali lagi menentang calon Barisan Nasional. Kali ini sebagai calon PAS dan restu Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dengan restu Dato' Nik Abdul Aziz dan sokongan ahli-ahli PAS Pasir Mas, hadirlah Datuk Ibrahim di Dewan Rakyat sebagai ahli bebas. 

Sebagai ahli bebas, Datuk Ibrahim bebas menyatakan pendiriannya termasuk mencerca PAS yang menghantarnya ke Dewan Rakyat.

PAS, khususnya Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato' Nik Abdul Aziz, dilaporkan berasa kesal dan aib. (Laporan penuh Utusan Malaysia.)

Sebaliknya, Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas dilaporkan memuji Datuk Ibrahim sebagai 'pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti dan amat rapat dengan penduduk Pasir Mas'.

Memandangkan Datuk Ibrahim 'tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti sama ada UMNO atau PAS', maka wajarlah Saudara Najib Rashdan melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas dan menyertai gerakan Datuk Ibrahim sebagai pejuang bangsa Melayu dan pejuang agama Islam tanpa parti. 

Dengan demikian Saudara Najib Rashdan dapat mengikut jejak langkah Datuk Ibrahim 'menjadi pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti dan menjadi amat rapat dengan penduduk Pasir Mas'.

Seterusnya Saudara Najib Rashdan dan Datuk Ibrahim dapat membuktikan kemurnian perjuangan mereka itu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.