2021

2021
DARURAT COVID-19

TAHUN LEMBU TAHUN MELOMPAT?

Rabu, Januari 28, 2009

| | |


PERAYAAN MENYAMBUT ADUN BN MELOMPAT KE PKR

 


Perayaan para pemimpin Barisan Nasional menyambut ketibaan tahun lembu tahun ini tidak semeriah perayaan para pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang menyambut kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, sebagai ahli baharu parti itu.

 

Datuk Nasaruddin Hashim ialah calon Barisan Nasional yang telah menewaskan calon PKR bagi kerusi DUN Bota dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008. Sebelum ini, beliau ialah aktivis UMNO, ahli Parlimen Malaysia kawasan Parit dan Pengerusi FELCRA Berhad.

 

Pada Oktober lalu Datuk Nasaruddin tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Parit.

 

PERAYAAN MENYAMBUT EZAM MELOMPAT KE UMNO

 

Perayaan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat kerana memenangi banyak kerusi Parlimen Malaysia pada pilihan raya umum ke-12 terganggu dengan berita kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda parti itu, Mohamad Ezam Mohd Nor, ke dalam UMNO pada 28 Mei 2009.

 

Kegembiraan ahli-ahli Parlimen PKR juga terganggu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, memilih pejabatnya di bangunan Parlimen untuk mengumumkan kemasukan Mohamad Ezam ke dalam UMNO itu.

 

Mohamad Ezam ialah bekas aktivis UMNO 1990-an yang melompat ke PKR kerana kesetiaannya kepada guru politik beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim. Antara jawatan beliau dalam UMNO sebelum ini ialah Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya Selatan, Naib Ketua UMNO Petaling Jaya dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor. Manakala dalam Kerajaan, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

 

Pada 25 Jun 2007 Mohamad Ezam mengumumkan keluar dari PKR kerana hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta tewas dalam percaturan politik dalaman parti itu.

 

PERAYAAN BEKAS KETUA UMNO MENANG ATAS TIKET PAS

 

Kesedihan bekas Ketua UMNO Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali kerana tewas, sebagai calon bebas, dan hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 6 Disember 2005 tidak panjang. Beliau bertanding semula, kali ini sebagai calon PAS, dan memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke -12 pada 8 Mac 2008.


Ketika berjuang dalam UMNO, selain jawatan Ketua UMNO Pasir Mas, Ibrahim Ali pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas, exco Pemuda UMNO Malaysia, Pengerusi MARA, ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

Beliau merupakan pengikut setia Tengku Razaleigh Hamzah. Apabila Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 beliau melompat ke parti itu dan bersama-sama dengan PAS menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di Kelantan pada tahun 1990. Apabila Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula UMNO, beliau turut melompat ke dalam UMNO.

 

Apabila beliau tidak dipilih sebagai ketua penaja UMNO Pasir Mas pada tahun 2003, Ibrahim Ali memilih untuk menentang calon Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004. Beliau tewas. Tindakan itu juga menyebabkan beliau terpecat sebagai ahli UMNO.


Pada 11 Mei 2008 Ibrahim Ali  telah dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau  tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti politik yang dianggapnya selari dan bersesuaian dengan perjuangan dan pendirian politiknya. Namun katanya beliau tidak perlu tergesa-gesa.

Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilaporkan sebagai berkata bahawa PAS sedia menerima Ibrahim Ali sebagai ahli parti itu sekiranya beliau mahu memperjuangkan Islam.