2021

2021
DARURAT COVID-19

PESAN PENYAIR ISTIMEWA JM AZIZ

Sabtu, Januari 03, 2009

| | |
Mentari 6 Januari 2009 akan terbit awal di kaki langit Kuala Terengganu kerana terjaga oleh sorak-sorai penyokong calon-calon yang akan didaftarkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Mentari yang sama, pada tarikh yang sama 35 tahun yang lalu, juga terbit awal di ufuk timur Terengganu, tetapi bukan kerana terjaga oleh sorak-sorai penyokong parti politik. Mentari 6 Januari 1974 terbit awal kerana menyahut seruan penyair istimewa J.M. Aziz (1934-2002), anak seni Seberang Takir, Kuala Terengganu.
[Penyair istimewa J.M. Aziz. Sumber: Jongkang Jongket]

Seruan anak seni Seberang Takir yang membuka mata mentari itu berbunyi begini:


“Terbitlah terbit
pintu kuala sedang terbuka
bangkitlah bangkit
tak baik duduk saja.

Terbitlah terbit
pintu kuala sedang terbuka
bertolaklah bertolak
jangan leka buang masa.

Terbitlah terbit
pintu kuala sedang terbuka
ikutlah ikut
alur perairan terbentang nyata.

Terbitlah terbit
pintu kuala sedang terbuka
ke lautlah ke laut
lalu memetik bunga mutiara
kalungkan ia di leher bonda.”


[Sajak Kuala oleh JM Aziz tersiar dalam Berita Minggu 6 Januari 1974. Dipetik daripada antologi puisi J.M Aziz, Kembang Selaut (DBP, 1988).]


[Gambar hiasan. Sumber: Germes Online]

Mentari 17 Januari 2009 akan menyaksikan anak-anak Terengganu memetik bunga mutiara untuk dikalungkan ke leher bonda yang melahirkan bangsa Malaysia merdeka.