2021

2021
DARURAT COVID-19

AYUH PAKATAN RAKYAT, BENTUKLAH KABINET BAYANGAN, JIKA BENAR INGIN BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT

Khamis, Mei 16, 2013

| | |

Novel ini sampai ke bilik bacaan saya pada 28 April, seminggu sebelum Pilihanraya Umum ke-13. Hiruk-pikuk orang berkempen memaksa saya melekatkan penanda buku di muka surat 156 dan tinggalkannya bersendirian dalam bilik bacaan.

Kini pilihanraya sudah tamat, rakyat telah buat keputusan. Debu perang kempen sudah mendap. Luka sudah sembuh, bengkak sudah surut. Parti yang majoriti dalam Dewan Rakyat, Barisan Nasional, sudah membentuk kerajaan.

Parti-parti minoriti - DAP, PKR dan PAS - tidak kalah tetapi tidak cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan dan impian ketuanya untuk menjadi perdana menteri belum tercapai. Usah gusar, Malaysia negara demokratik. Sudah 13 kali kita laksanakan pilihanraya umum dengan jayanya. Lima tahun lagi, pilihanraya umum ke-14. Parti minoriti hari ini berpeluang jadi majoriti pula.

Sementara menunggu saat itu, daripada memutar lidah tidak bertulang mengkritik 'kabinet Najib', lebih bijaksana bagi ketua-ketua parti minoriti berpakat membentuk 'kabinet bayangan'. Inilah yang diamalkan di United Kingdom, Kanada dan negara-negara yang mengamalkan demokrasi ala-Westminster.

Seusai pilihanraya, ketua-ketua parti minoriti di United Kingdom tidak menjelajah daerah menjual air liur kepada budak-budak mentah berbaju hitam. Tidak gah ayam jantan bertaji dan berbalung berkokok nyaring di hadapan anak-anak ayam yang masih lembut paruhnya.

Ayuh Kit Siang. Ayuh Haji Adi. Ayuh Anwar. Pamerkan kematangan dan kebijaksanaan dengan membentuk kabinet bayangan yang lebih unggul daripada kabinet Najib. Pastikan anggota kabinet bayangan itu bekerja keras mengawasi dan menandingi kabinet Najib. Berlumbalah tuan-tuan untuk berbakti kepada rakyat!

Seandainya tuan-tuan Yang Berhormat kurang arif berkenaan kerja kabinet bayangan, sila hubungi Perdana Menteri (Bayangan) United Kingdom, Ketua Parti Buruh, Tuan Ed Milliband di sini.

Sementara tuan-tuan Yang Berhormat berfikir dan bermuafakat, saya kembali ke bilik bacaan untuk menikmati novel World Without End. Semoga kabinet bayangan Pakatan Rakyat terbentuk sebelum saya sampai ke muka surat 1237, muka surat terakhir karya Kenn Follett itu.