2021

2021
DARURAT COVID-19

AZAB TUNKU ABDUL AZIZ BERKETUAKAN 'YU EKOR PARI'

Khamis, Mei 17, 2012

| | |
Bagi lepasan sekolah aliran Melayu seperti saya, rangkai kata ini, I feel liberated from the tyranny of demagogy, sangat sukar difahami.

Dek kerana kata-kata itu, sebagaimana dilaporkan oleh thestar online, diungkap oleh pengasas Transparency International-Malaysia, insan terpelajar Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar atas, bertali leher), bekas senator yang pernah bertugas sebagai penasihat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta bertanggungjawab menubuhkan United Nation Ethics Office, maka saya bekerja keras untuk memahaminya.

Setakat 'I feel liberated from ...', tidak sukar,  'Saya rasa bebas daripada ...'


Yang ini sukar: ..the tyranny of demagogy. Justeru penuturnya lahir pada zaman penjajahan Inggeris dan terdidik di England, serta penuturannya itu ditujukan kepada pemimpin Democratic Action Party (DAP), maka kamus pilihan saya ialah Cambridge Dictionaries Online  bahagian British English dan Visual Theasurus. Inilah dapatan pencarian saya terhadap rangkai kata the tyranny of demagogy:

TYRANNY ialah kata nama yang bermaksud 'when a situation or person controls how you are able to live, in an unfair way'.
Visual Thesaurus menyamakan maksud TYRANNY dengan maksud kata-kata berikut: Stalinism, authoritarianism, dictatorship, monocracy, one-man rule dan shogunate.

Otak Melayu saya menterjemahkannya begini: keadaan atau seseorang yang mengawal, dengan cara yang tidak adil, bagaimana anda seharusnya menjalani kehidupan. Ringkasnya kehidupan yang azab di bawah telunjuk pemimpin yang zalim.


Selanjutnya otak Melayu saya menterjemahkan I feel liberated from the tyranny sebagai 'saya rasa bebas daripada keazaban hidup di bawah telunjuk pemimpin yang zalim'. 

Justeru kata-kata itu diungkapan oleh Tunku Abdul Aziz sebaik sahaja beliau meletakkan jawatan sebagai Naib Pengerusi DAP dan keluar daripada parti itu, maka tentulah keazaban yang dialami oleh beliau ialah keazaban tatkala hidup sebagai ahli DAP.

Beliau mengalami kehidupan yang azab kerana kehidupannya dikawal secara tidak adil oleh seseorang yang zalim seperti Stalin (Stalin ialah Setiausaha Agung Parti Komunis Soviet Union pada tahun 1922-1952 yang mengamalkan pemerintahan secara kuku besi. Baca berkenaan jumlah rakyat yang dibunuh oleh diktator Stalin di sini. )

[Gambar hiasan: Demagogue. Sumber: Art+Culture]


Perkataan selanjutnya: DEMAGOGY.

Demagogy adalah kata sifat yang terbit daripada kata nama demagogue. Maksud demagogue ialah a person, especially a political leader, who wins support by exciting people's emotions rather than by having good ideas.



Otak Melayu saya menterjemahkannya begini: seseorang, terutamanya pemimpin politik, yang beroleh kuasa bukan kerana memiliki gagasan yang baik tetapi kerana berjaya membakar emosi rakyat. Orang ini selalunya berpidato secara berapi-api, pandai bermain kata-kata untuk menyalakan  sentimen orang ramai, sehingga beliau dianggap sebagai pejuang dan pembela rakyat golongan bawahan.
Ringkasnya demagogy ialah pemimpin hipokrit yang bermuka-muka. Peribahasa Melayu yang sesuai untuk demagogue ialah pemimpin 'berkepalu yu, berekor pari'. 

[Penulis Amerika Syarikat bernama Henry Louis Mencken menyifatkan demagogue sebagai seseorang yang mencanangkan doktrin yang diketahuinya palsu kepada orang ramai yang diketahuinya dungu! Sumber: Wikipedia]  


Justeru demagogue yang dirujuk oleh Tunku Abdul Aziz ialah pemimpin DAP, maka faham saya ialah pemimpin DAP itu sifatnya hipokrit, bermuka-muka dan 'berkepala yu, berekor pari'.

Berasaskan kajian tersebut, faham saya terhadap ungkapan mantan senator Tunku Abdul Aziz,  I feel liberated from the tyranny of demagogy, ialah 'saya rasa bebas daripada keazaban hidup di bawah telunjuk pemimpin hipokrit dan zalim'.

Demikianlah faham otak Melayu saya terhadap luahan rasa Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang berotak Inggeris.

Perutusan terbuka kepada Tunku Abdul Aziz: Maafkan saya kiranya pemahaman saya ini tersimpang daripada maksud sebenar Tunku. Ruang hayat dan darjat kita sangat jauh terpisah, apatah lagi tahap kebijaksanaan antara Tunku dan saya. Namun saya bangga kerana tidak termasuk dalam kalangan orang dungu yang tertipu oleh momokan palsu Si Kepala Yu Berekor Pari. Semoga kita semua dilindungi Allah Yang Maha Mengetahui daripada tipu muslihat dan kezaliman para penipu dan penzalim.