2021

2021
DARURAT COVID-19

BAHTERA PAGE DIRAMPAS KETUANYA!

Isnin, Oktober 31, 2011

| | |

“Jangan biarkan kami beri undi kepada pembangkang,” kata Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim dalam satu kenyataan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Kenyataan di atas dipetik daripada PPSMI: Hadapi risiko PRU jika terus nafi kami, PAGE beri Najib amaran dalam The Malaysian Insider 31 Oktober 2011. PAGE ialah singkatan bagi Parent Action Group for Education Malaysia.

Pengerusi PAGE itu (gambar di atas) seterusnya dilaporkan oleh The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa jika Kerajaan memenuhi tuntutan PAGE, iaitu pilihan untuk meneruskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pembelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dan sekolah menengah, maka PAGE 'akan berikan anda majoriti dua pertiga'.

Maksudnya beliau dan semua anggota PAGE akan mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang. (Catatan sampingan: Presiden PAS pun tidak boleh menjamin bahawa semua ahli partinya mengundi calon PAS dalam pilihan raya. Demikian juga Presiden UMNO. Begitu juga Presiden Keadilan.)

Sebaliknya, sebagaimana yang difahami daripada maksud petikan kenyataan di atas, beliau dan semua anggota PAGE akan mengundi parti pembangkang jika Kerajaan tidak berganjak dengan keputusan menamatkan PPSMI dan menggantikannya dengan MBMMBI bermula sesi persekolahan tahun 2012. (Catatan sampingan: Parti pembangkang manakah yang akan diundi oleh Pengerusi PAGE? Parti PAS bukan sahaja menentang pelaksanaan PPSMI malah mencabar dasar tersebut dalam mahkamah. Lebih buruk, PAS berselindung dalam seluar murid sekolah darjah empat anak pejuang besarnya untuk menghalang pelaksanaan dasar PPSMI. Parti itu menyuruh murid berkenaan berkata 'dasar PPSMI menafikan haknya untuk belajar sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia'. PAS adalah anggota Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR. Baca di sini.)

PPSMI ialah singkatan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris. Manakala MBMMBI ialah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Berbalik kepada kenyataan-kenyataan yang dilaporkan sebagai kata-kata Pengerusi PAGE di atas.

Nampaknya Pengerusi PAGE sedang mengemudi pertubuhan pimpinannya ke samudera politik. Walhal tercatat pada laman web pertubuhan itu, PAGE Blackboard, misi PAGE seperti berikut:
Mission Statement
'To provide a platform for parents' feedback on educational issues and enable its transmission to the Ministry of Education'
(Terjemahan: 'Menjadi medan maklum balas ibu bapa berkenaan isu-isu pendidikan dan menyalurkannya kepada Kementerian Pelajaran'

Inilah yang dikatakan eksploitasi. Ibu bapa menyertai PAGE untuk berbincang secara sihat dan menyampaikan pandangan mereka berkenaan hal-hal pendidikan anak-anak secara matang. Ibu bapa tersebut tentulah mempunyai pendirian politik masing-masing, tetapi penyertaan mereka dalam PAGE tiada kena-mengena dengan politik kepartian.

Apabila Pengerusi PAGE bercakap bahasa politik dan mengemudi pertubuhan pimpinannya ke samudera politik, maka beliau telah mengeksploitasi niat murni ibu bapa yang menyertai PAGE.

Tindakan Pengerusi PAGE memberi 'kata dua politik' kepada Kerajaan tambah mengeruhkan suasana. Walhal misi PAGE ialah menyalurkan pandangan ibu bapa berkenaan isu pendidikan (dan bukan pendirian untuk mengundi sesuatu parti) kepada Kementerian Pelajaran (KPM).

KPM pula bertanggungjawab mendengar pandangan daripada semua anggota masyarakat - ibu bapa, pendidik, komuniti profesional, pemimpin masyarakat, usahawan, cendekiawan dan NGO yang lain. KPM juga mempunyai jenteranya tersendiri seperti pusat perkembangan kurikulum, lembaga peperiksaan, bahagian teknologi pendidikan dan bahagian penyelidikan pendidikan.

Jentera KPM tersebut dianggotai oleh ahli profesional pendidikan yang berkelayakan dan berpengalaman. Mereka telah menjalankan penyelidikan berdasarkan prinsip-prinsip pendidikan serta mengamati amalan terbaik antarabangsa dalam bidang pendidikan.

Setelah mengkaji segala maklum balas dan menganalisis dapatan penyelidikan, maka jentera pendidikan KPM menasihatkan pucuk pimpinan Kerajaan berkenaan isu pendidikan tersebut daripada kaca mata pendidikan.

Sewajarnya Pengerusi PAGE mencontohi sikap profesional para pendidik yang menganggotai KPM. Apatah lagi isu PPSMI ini merupakan ijtihad profesional dalam memilih bahasa pengantar pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik.

Bahasa pengantar pembelajaran merupakan perkara profesional pendidikan. Demikian juga cara bagaimana soalan peperiksaan digubal dan cara bagaimana guru-guru mengajar dalam bilik darjah. (Cara bagaimana peguam berhujah dalam mahkamah sudah pasti berbeza dengan cara bagaimana ahli perniagaan berhujah dalam mesyuarat lembaga pengarah. Kedua-duanya tertakluk atau terpandu kepada prinsip-prinsip serta amalan terbaik profesional yang berbeza. Kedua-duanya juga tiada pilihan kecuali membuat pilihan atau ijtihad berkenaan cara-cara untuk berhujah. Kedua-dua pihak tersebut tidak wajar memaksa satu sama lain menggunakan kaedah penghujahan masing-masing dengan memberi kata dua!)

Hal-hal profesional tidak wajar diseret ke samudera politik kepartian kerana politik kepartian tidak mengizinkan pertimbangan profesional. Politik kepartian hanya menerima satu prinsip - kesetiaan kepada dogma perjuangan dan ketaatan kepada pemimpin parti.

Maka ibu bapa yang menganggotai PAGE tidak wajar membiarkan pengerusinya merampas pertubuhan itu semata-mata untuk meladeni nafsu elitis beliau.

(Catatan akhir: Untuk memahami cara bagaimana ahli profesional pendidikan bekerja, saya anjurkan supaya pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa PAGE menelaah buku Haluan Kerja Pendidikan (gambar di bawah) oleh Dato' Sri Abd. Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.)