2021

2021
DARURAT COVID-19

KEGAGALAN YANG DIDENDANGKAN

Rabu, Disember 31, 2008

| | |

“Mengenai jumlah calon yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran yang diambil dengan mendapat sekurang-kurangnya semua D, Alimuddin (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Mohd Dom) berkata ia menunjukkan penurunan daripada 63.53 peratus tahun lepas kepada 62.93 peratus tahun ini.”

[Bernama.com 31 Disember 2008Laporan penuh.]

 

Sembilan tahun menyertai alam persekolahan, sembilan tahun mengikuti kegiatan pembelajaran, namun hampir 300,000 remaja yang menduduki Penilaian Menengah Rendah 2008 gagal mencapai  tahap penguasaan minimum, yakni mendapat sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran.

 

'Tidak mencapai tahap penguasaan minimum' bermaksud tidak melepasi standard yang ditetapkan. Tidak melepasi standard bemakna gagal memenuhi syarat minimum dalam sesuatu pengujian atau saringan. Dalam konteks PMR 2008, remaja yang berjaya melepasi standard, berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama, hanyalah 37 peratus daripada 472,060. Ini bermakna 63 peratus daripada kelompok remaja yang diuji telah gagal melepasi standard minimum yang ditetapkan. 

 

Namun Utusan Malaysia menyifatkan pencapaian tersebut sebagai cemerlang.


Pada 2005, pelajar yang sama (ketika itu masih kanak-kanak) telah menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada ketika itu, Datuk Dr Ahamad Sipon, semasa mengumumkan keputusan UPSR 2005, telah dilaporkan oleh Bernama 16 November 2005 sebagai berkata,

 

"A total of 473,544 candidates or 95.8 per cent got at least a C Grade in at least one subject compared with 466,402 (95.4 per cent) previously. This means that less than five per cent of the candidates had performed below the minimum level in all subjects."

 

Sewajarnya kualiti 473,544 kanak-kanak tersebut, setelah dididik dan diasuh selama tiga tahun pada peringkat menengah rendah, menjadi lebih baik, yakni memperoleh sekurang-kurangnya satu gred yang lebih tinggi daripada gred C pada peringkat PMR 2008. Namun, kenyataannya ialah hanya 174,000 atau 37 peratus daripada mereka berjaya melepasi tahap penguasaan minimum pada peringkat PMR 2008. Selebihnya, kira-kira 298,000 orang, gagal.

 

Dari sudut kualiti, prestasi PMR 2008 juga tidak menunjukkan bahawa persekolahan selama tiga tahun pada peringkat menengah rendah dapat melonjakkan ketrampilan benih modal insan negara ke tahap yang diharapkan.

 

“Education Director-General Datuk Dr Ahamad Sipon said that of the 506,814 registered candidates, 35,870 or 7.3 per cent obtained 5As or 7As compared with 32,982 (6.8 per cent) last year.

[Bernama 16 November 2005, ‘UPSR 2005 Results: Encouraging Improvements]

 

A total of 26,378 students or 5.96 per cent of the 2008 Penilaian Menengah Rendah (PMR) candidates scored grade A in all subjects they sat for compared to 5.65 per cent last year and 4.83 per cent in 2006.

 [Bernama 31 Disember 2008, ‘2008 PMR Results Better Than Last Year’s’]

 

Pembelajaran sepatutnya mempertingkat kualiti benih modal insan. Namun daripada populasi benih modal insan yang mengandungi 35,000 remaja berprestasi tinggi (sekurang-kurangnya mendapat 5A dalam UPSR 2005), hanya 26,000 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran PMR 2008. Apakah yang telah terjadi kepada 9,000 anak-anak muda yang dinilai cemerlang pada tahun 2005?

 

Persekolahan selama tiga tahun sepatutnya menambah komposisi benih modal insan berprestasi tinggi yang menyertainya. Namun populasi modal insan yang asalnya mengandungi 7 peratus remaja berprestasi tinggi, setelah diasuh selama tiga tahun, tahap kualiti populasi tersebut bukan sahaja tidak meningkat, malah merosot kepada 6 peratus.

 

Pun begitu, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia tetap bergembira tatkala melaporkannya. Demikian juga gendang yang dipalu oleh akhbar-akhbar dan lagu yang didendangkan oleh radio dan televisyen. Utusan Malaysia. Berita Harian. NST. The Star.

Untuk siapakah alunan merdu itu dimainkan?