2021

2021
DARURAT COVID-19

TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

Selasa, Januari 10, 2012

| | |
TAHNIAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA atas daya usaha dan keberanian mentransformasi pendidikan vokasional kebangsaan.

Keberanian ini berjaya menyelamatkan anak-anak remaja yang berbakat tetapi tiada ketrampilan akademik daripada tercicir dan terbiar.

Kajian terhadap keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) [darjah enam sekolah rendah] dalam tempoh 2006-2010 misalnya, menunjukkan , secara purata, lebih 15,000 murid setahun memperoleh keputusan gred D (lemah) dan E (sangat lemah). Malah dalam tempoh lima tahun itu sebanyak 9,546 murid - purata 3,600 murid setahun - yang hanya mencapai gred E.


Demikian juga pencapaian murid dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) [tingkatan tiga sekolah menengah]. Dalam tempoh 2006-2010, secara purata, lebih 36,000 murid setahun hanya mencapai gred D (tahap penguasaan minimum) dan E (tidak mencapai tahap penguasaan minimum). Dalam tempoh tersebut sebanyak 2,258 murid yang hanya mencapai gred E.

Keberanian ini berjaya mengembangkan bakat anak-anak remaja yang tiada ketrampilan akademik tersebut supaya menjadi insan berguna yang berupaya menyumbang kepada kemajuan negara. Mereka berpeluang menyertai saluran menerusi Program Pendidikan Asas Vokasional (tingkatan satu hingga tingkatan tiga sekolah menengah) dan Program Kolej Vokasional di kolej-kolej vokasional (selepas tingkatan tiga dan selepas tingkatan lima).

Menerusi Program Pendidikan Asas Vokasional, remaja yang tiada ketrampilan akademik akan berpeluang menjalani pendidikan dan latihan vokasional dalam bidang teknologi, pertanian dan ekonomi rumah tangga.
Antara kursus bidang teknologi ialah kimpalan arka, kimpalan gas, perabot, binaan bangunan, perpaipan, penyejukbekuan, penyamanan udara, pendawaian elektrik, elektronik audio visual, servis automotif dan dekorasi dalaman. Manakala kursus bidang pertanian ialah akuakultur dan tanaman. Remaja yang meminati bidang ekonomi rumah tangga akan mengikuti kursus pakaian dan jahitan, penyediaan dan penyajian makanan, seni kecantikan, bakeri dan asuhan kanak-kanak.



Kursus-kursus tersebut tidak statik, sebaliknya akan berkembang dan bertambah mengikut keperluan ekonomi negara. Apa yang penting, remaja yang menjalani Program Pendidikan Asas Vokasional, buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan kebangsaan, akan memiliki kemahiran vokasional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2.


Tiada lagi keciciran. Tiada lagi bakat terbuang.

(Saya menumpang bangga kerana dapat memberikan sumbangan kecil kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan pasukan petugas Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional yang menyediakan buku Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional.)