2021

2021
DARURAT COVID-19

JAM PERTAMA DALAM HIDUP SAYA, HADIAH IBU

Jumaat, April 01, 2011

| | |
Beginilah rupa jam tangan pertama saya. Jam automatik jenama Orient hadiah ibu saya kerana lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran tahun 1973. Ibu membeli jam itu dari kedai pajak gadai di Pasir Mas.

[Orang Kelantan menggelarnya barang lelap, iaitu gadaian yang tidak ditebus oleh penggadainya selepas suatu tempoh yang ditetapkan oleh kedai pajak gadai. Selain emas lelap, terdapat pelbagai jenama jam lelap dan pelbagai corak kain batik jawa lelap yang boleh dibeli di kedai pajak gadai ketika itu.]

Dengan keputusan cemerlang itu dan seutas jam automatik tergelang di tangan kiri, saya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Kelantan di Pengkalan Chepa. Jam itu juga kekal bersama saya tatkala menjejakkan kaki di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Satu tabiat buruk jam itu ialah enjinnya berhenti bekerja apabila dibiarkan pegun. Mesti dipakai sepanjang waktu, termasuk waktu tidur!

Setakat itulah ingatan saya terhadap jam tersebut. Saya tidak pasti bila saya berpisah dengannya.