2021

2021
DARURAT COVID-19

JANGAN BELI AIR ZAMZAM, WALAUPUN ATAS NAMA USTAZ, LEBAI DAN TOK GURU (II)

Khamis, Mei 14, 2015

| | |
KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA YANG MENGHARAMKAN PENJUALAN AIR ZAMZAM DI MALAYSIA

"Penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia"

1. Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan akhbar Harian Metro pada 11 Mei 2015 bertajuk “Zam Zam Tiruan” berkenaan penjualan air zam zam tiruan di pasaran tempatan yang diragui ketulenan dan keselamatan kepada pengguna.

2. Air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

3. Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi. Sehubungan itu, penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia.

4. Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah bersetuju supaya Kementerian Kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

5. Selaras dengan itu, Kementerian Kesihatan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983. Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 sehingga kini di seluruh negara, air zam zam bernilai RM30,098.30 telah dirampas. Kementerian Kesihatan kini sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam.

6. Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

7. Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mendapati air zam zam di pasaran, pengguna boleh membuat aduan melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

13 Mei 2015