2021

2021
DARURAT COVID-19

SENGSARA DAN CINTA DALAM 'THE NARROW ROAD TO THE DEEP NORTH'

Rabu, Oktober 29, 2014

| | |
Novelis Australia, Richard Flanagan memperkenalkan watak utama, pakar bedah Dorigo Evans, serta memulakan kisah kesengsaraan perang dan keresahan cinta dalam novel The Narrow Road to the Deep North dengan cahaya:

"Why at the beginning of things is there always light?"

Akhirnya Dorigo Evans mati, dan The Narrow Road to the Deep North - yang diiktiraf sebagai 'an extraordinary piece of writing' oleh pengarah Wheeler Center di Melbourne, Michael Williams menerusi tulisan beliau dalam The Guardian (Australia) -  melabuhkan tirai persembahan kreatifnya yang indah, dengan ungkapan berikut:

"He was in any case hurtling backwards into an ever fa ster swirling maelstrom of ... a light he had stolen from the sun..."

Antara dua ungkapan tersebut, novel yang ditabalkan sebagai juara Man Booker Prize 2014 ini sarat dengan ceritera kesengsaraan askar dan tawanan Perang Dunia Kedua di hutan belantara Siam-Burma berlatarkan perintah Maharaja Jepun untuk membina landasan kereta api sejauh 415 kilometer dari Kanchanaburi (Thailand sekarang) dan Thanbyuzat (Myanmar sekarang). Ceritera kesengsaraan tersebut dipilinkan dengan ceritera cinta, keinginan setiap insan untuk menjadi mulia dan kehadiran kematian dalam pelbagai wajah.

Setiap watak dalam novel ini diberikan kehidupan dan kematian tersendiri oleh Flanagan. Kehidupan yang diratah oleh kesengsaraan perang dan kekeliruan cinta yang dilahirkan oleh peperangan. Malah kesengsaraan dan kekeliruan watak-watak dalam novel unggul ini saban malam menghantui tidur saya bermula dari hari pertama saya membacanya sehinggalah saya menamatkannya beberapa hari selepas Richard Flanagan menerima anugerah Man Booker Prize 2014 daripada Duchess of Cornwall, Camilla Parker Bowles di London Guild's Hall pada 14 Oktober 2014.

The Narrow Road to the Deep North edisi kulit keras setebal 448 halaman terbitan Chatto & Windus, London berharga RM89.90 di MPH Bookstore. Dengan hanya 20 sen sehalaman, anda dapat menikmati keindahan dan keunggulan kreativiti novelis terkemuka Richard Flanagan yang mengusahakannya selama 12 tahun!