2021

2021
DARURAT COVID-19

DUNGU ATAU BERNIAT JAHAT?

Sabtu, September 14, 2013

| | |
PEMBUAT HUHA PPPM:
Dungu atau berniat jahat?

Sumbangan mutakhir saya kepada pendidikan kebangsaan ialah sebagai Setiausaha Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara. Laporan panel, Laporan Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan oleh Pengerusi Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Noordin pada 30 Ogos 2012. Seterusnya laporan itu menjadi rujukan Kementerian Pendidikan dalam menggarap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013—2025 (PPPM).

Semenjak laporan awal PPPM dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 September 2012, sehingga pelancaran dokumen akhir pelan itu oleh Timbalan Perdana Menteri pada 6 September baru-baru ini, pelbagai pihak tampil memberikan pandangan.

Namun ada juga pihak yang bangkit membuat ‘huha’. Catatan ini saya tujukan kepada pembuat ‘huha’ tersebut. Inilah catatan saya:

Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga. Demikian orang tua-tua mengumpamakan sikap si dungu antikemajuan. Perumpamaan ini masih berguna pakai hingga ke hari ini.

Si dungu antikemajuan bukan sahaja bercawat ekor, malah ‘huha’ — menyalak menentang usaha kaum guru mengangkat daya fikir anak-anak muda Malaysia menerusi PPPM. Hairannya ialah pembuat huha itu orang-orang tersekolah. Masakan orang tersekolah masih dungu!

Termaktub dalam perancangan strategik PPPM ialah tekad kaum guru untuk menghasilkan lepasan sekolah — sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan — berdaya fikir aras tinggi. Daya fikir aras tinggi. Inilah empat perkataan yang menjadi paksi dokumen PPPM yang setebal 246 muka surat itu.

Dengan kata-kata lain, dalam satu ayat, PPPM ialah strategi untuk membentuk bangsa Malaysia berdaya fikir aras tinggi. Ayat-ayat dan perkataan-perkataan lain dalam dokumen tersebut, sama ada dalam Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, sama ada dalam bentuk rajah atau gambar, sama ada hitam putih atau berwarna, tidak lebih daripada pernyataan tindakan, pendekatan dan cara bagaimana strategi tersebut hendak dilaksanakan dalam tempoh tertentu.

Pernyataan tindakan, pendekatan  dan cara bagaimana itu pula tidak bersifat ketetapan yang muktamad atau arahan yang dipahatkan pada batu. Justeru tindakan, pendekatan dan cara bagaimana itu merupakan tindakan mendidik, pendekatan mendidik dan cara bagaimana mendidik, maka sifat pekerjaan itu anjal, pelbagai, kreatif dan konstruktif.

Maksudnya pekerjaan mengasah kemahiran berfikir aras tinggi itu tidak seragam. Pekerjaan di sekolah kebangsaan tentu berbeza dengan pekerjaan di sekolah jenis kebangsaan. Pekerjaan di sekolah dalam bandar berbeza dengan pekerjaan di sekolah luar bandar. Pekerjaan guru di Semenanjung berbeza dengan pekerjaan guru di Sabah dan Sarawak.

Ikhtiar guru bahasa berbeza dengan ikhtiar guru sains. Ikhtiar guru di sekolah harian tidak sama dengan ikhtiar guru di sekolah berasrama penuh. Ikhtiar guru sekolah rendah tidak sama dengan ikhtiar guru sekolah menengah.

Pendek kata, pekerjaan mendidik tidak seragam sebagaimana pekerjaan menanam kelapa sawit. Cara menanam kelapa sawit di mana-mana ladang di negara ini adalah seragam. Cara mendidik, bukan sahaja tidak seragam antara wilayah atau negeri atau daerah, malah tidak seragam antara sekolah. Hatta dalam sebuah sekolah, cara mendidik untuk setiap kelas dan untuk setiap murid adalah berbeza dan pelbagai.

Hanya ada dua keseragaman dalam kerja mengasah kemahiran berfikir aras tinggi di sekolah seluruh negara — malah di seluruh dunia, zaman berzaman — iaitu kreatif dan konstruktif.

Kreatif dan konstruktif. Inilah sifat guru yang diperlukan untuk membentuk murid berdaya fikir aras tinggi. Inilah sifat bilik darjah untuk mengasuh murid berdaya fikir aras tinggi. Inilah sifat sekolah untuk menjana murid berdaya fikir aras tinggi. Inilah sifat PPPM.

Pelan yang kreatif dan konstruktif untuk menjana lepasan sekolah — generasi baharu pewaris dan penerus perjuangan membangunkan bangsa Malaysia maju — berdaya fikir aras tinggi. Pelan yang kreatif, batasannya hanyalah kemahuan dan kebolehan. Maka selagi ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka selagi ada kebolehan, di sana ada kejayaan.

Pelan yang konstruktif, batasannya ialah niat jahat. Selagi ada niat baik untuk memajukan bangsa Malaysia, apa-apa jua perancangan dan apa-apa jua tindakan — sebagaimana yang tergarap dalam pelan besar seperti PPPM dan pelan kecil seperti rancangan pengajaran guru — menjurus ke arah peningkatan darjat serta peningkatan daya upaya.

Sebaliknya, apabila terbetik setitik niat buruk dalam sanubari, apa-apa jua perancangan dan apa-apa jua tindakan pasti menjurus ke arah kemusnahan, kehancuran dan kemunduran. Kemusnahan, kehancuran dan kemunduran yang sangat parah lagi menakutkan ialah kemusnahan, kehancuran dan kemunduran daya fikir. Inilah sebab yang melenyapkan kemuliaan bangsa-bangsa dalam sejarah kehidupan manusia semenjak permulaan alam.


Harapan kita ialah ‘huha’ pelbagai pihak terhadap PPPM bukan terbit daripada niat buruk yang tersembunyi dalam sanubari. Harapan kita ialah ‘huha’ itu terbit daripada kedunguan untuk memahami maksud PPPM, bagai tamsil orang tua-tua yang tinggi daya fikirnya — walau sepuluh jong masuk, anjing tetap bercawat ekor.