2021

2021
DARURAT COVID-19

MURID DI SEKOLAH, PENJENAYAH DI PENJARA

Khamis, Ogos 04, 2011

| | |

Wajarkah murid sekolah diserahkan kepada kakitangan penjara untuk dilatih supaya menghargai kebebasan dan menjadi pelajar cemerlang?

Latar belakang kepada soalan di atas:

Sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru menghantar murid masing-masing mengikuti Program Pencegahan Jenayah dan Harga Kebebasan kelolaan anak syarikat Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad, KOPEN Training Consultant, di Pusat Latihan Pegawai Penjara Johor, Kluang.

Kekecohan telah berlaku apabila murid yang menyertai program tersebut mendakwa mereka didera dan dilayan seperti banduan. Baca laporan media di sini dan di sini.
Kekecohan tersebut memaksa Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (gambar di atas) meninggalkan urusan penting yang lain bagi menguraikan kekusutan dan selanjutnya memberikan penjelasan kepada masyarakat. Portal Berita iKDN melaporkannya di sini.

KOPEN Training Consultant

Berdasarkan brosur yang disiarkan dalam portal rasmi Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad (KOPEN), syarikat KOPEN Training Consultant dianggotai oleh kakitangan penjara. Mereka merupakan jurulatih berpengalaman dalam aspek kepenjaraan dan berkemahiran menangani pesalah jenayah kekerasan, harta benda dan dadah.

Persoalan besar:
1. Mampukah jurulatih kepenjaraan melatih dan mendidik murid sekolah menengah dalam aspek motivasi?
2. Adakah murid yang menyertai program tersebut merupakan pesalah jenayah kekerasan, harta benda dan dadah sehingga memerlukan jurulatih yang berkemahiran dan berpengalaman menangani pesalah sedemikian?
3. (Soalan analogi) Mampukah jurulatih harimau melatih kucing dan merpati?

Catatan selanjutnya dalam brosur tersebut:
'Pembentukan jati diri dan disiplin juga ditekankan dengan menumpukan latihan kawad oleh jurulatih bertauliah.'

Persoalan besar:
1. Bagaimanakah latihan kawad dapat membentuk jati diri dan disiplin?
2. Adakah seseorang perlu berkawad serta menjalani simulasi terpenjara sebelum memperoleh jati diri dan disiplin?
3. Adakah seseorang yang tidak pernah berkawad dan tidak pernah dipenjara sebagai penjenayah merupakan orang yang tidak berjati diri dan tidak berdisiplin?

Berdasarkan brosur KOPEN Training Consultant itu juga, idea dan konsep Program Pencegahan Jenayah dan Harga Kebebasan terbit daripada fenomena jenayah yang berleluasa dalam masyarakat. Berikut ialah petikan daripada catatan bertajuk Latar belakang dalam brosur berkenaan:

  • Sebanyak 40,738 jenayah kekerasan (bunuh, rogol, samun dan mendatangkan kecederaan) pada tahun 2009.
  • Sebanyak 168,679 jenayah harta benda (curi dan pecah rumah) pada tahun 2009
Persoalan besar:
1. Premis program motivasi ini ialah fenomena jenayah. Daripada hampir 300 ribu kes jenayah pada tahun 2009 itu, berapa peratuskah melibatkan murid sekolah (lebih khusus, murid sekolah sekitar Johor Bahru)?
2. Adakah murid-murid yang dipilih menyertai program ini mempunyai potensi untuk berkecimpung sebagai penjenayah kekerasan dan penjenayah harta benda apabila dewasa nanti?
3. Murid-murid sekolah merupakan remaja yang sedang menjalani pendidikan yang digubal berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Adakah premis kejenayahan ini selari dengan falsafah tersebut dalam konteks perencanaan modul pendidikan dan latihan?

Telitikan pula objektif program ini:
Objektif pertama: 'membentuk sikap positif dan memberi pengalaman kesukaran menjalani penahanan dalam penjara'.

Persoalan besar:
1. Apakah maksud sikap positif yang difahami oleh 'jurulatih berpengalaman dalam aspek kepenjaraan dan berkemahiran menangani pesalah jenayah kekerasan, harta benda dan dadah'?
2. Apakah takrifan 'kesukaran menjalani penahanan dalam penjara'?
3. Bagaimanakah pengalaman kesukaran menjalani penahanan dalam penjara boleh membentuk sikap positif murid sekolah?
4. Apakah keperluannya 'pengalaman kesukaran menjalani penahanan dalam penjara' dalam menentukan kemajuan dan kecemerlangan masa depan murid-murid sekolah?

Objektif ketiga program ini dinyatakan seperti berikut:
'Mewujudkan generasi yang berkualiti, bertatasusila dan beretika tinggi'.
Bagi mencapai objektif tersebut, metodologi program ialah 'simulasi, ceramah, latihan fizikal, role play dan demonstrasi sebatan rotan'.

Persoalan besar:
1. Dalam sejarah peradaban manusia, pernahkah tercatat komuniti penjara berjaya menghasilkan generasi berkualiti, bertatasusila dan beretika tinggi?
2. Penjara adalah institusi koreksional atau pemulihan. Adakah sekolah tidak lagi berdaya upaya menjalankan program pembangunan manusia berkualiti, bertatasusila dan beretikan tinggi?
3. Adakah murid-murid sekolah perlu diserahkan kepada komuniti pemulihan bagi menjadikan mereka generasi berkualiti, bertatasusila dan beretika tinggi?
4. Sekiranya demonstrasi sebatan rotan merupakan metodologi efektif bagi membentuk warganegara berkualiti, bertatasusila dan beretika tinggi, mengapakah hukuman sebatan rotan tidak dijalankan secara terbuka dan dipertontonkan kepada seluruh anggota masyarakat?

Kesimpulan

Perhatikan catatan berikut pada brosur program:
'YURAN PROGRAM: Pelajar sekolah - dari RM75.00 seorang'.

Inilah motif sebenar syarikat KOPEN Training Consultant: menjual produk latihan untuk memperoleh pendapatan dan seterusnya membuat keuntungan untuk KOPEN. Pasaran yang paling mudah dan paling besar ialah sekolah. Motif ini mulia dan strategi perniagaan syarikat juga boleh dipuji.

Persoalan besar:
1. Adakah Pengarah Pelajaran Negeri Johor membaca, meneliti dan memahami maksud tersurat dan tersirat brosur KOPEN Training Consultant tersebut?
2. Pernahkah komuniti pendidik sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru berbincang dan mencari jawapan kepada soalan ini: wajarkah murid sekolah diserahkan kepada kakitangan penjara untuk dilatih supaya menghargai kebebasan dan menjadi pelajar cemerlang?

Tiada seri pada wajah mereka
(Gambar hiasan dipetik daripada yusufultraman[dot]com. Kapsyennya: 'Sebahagian daripada 33 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Bahru kecewa kerana dipaksa membotakkan kepala dan didera oleh Warden Penjara Kluang ketika menyertai Program Sinar Harapan. Baca catatan penuh di sini.)

Wajah riang, motivasi pun tinggi
(Gambar hiasan ini pula dipetik daripada blog jiwahakir.blogspot.com. Pemilik blog memperkenalkan dirinya sebagai Chekgu Azam Aziz. Gambar ini terkandung dalam catatan beliau bertajuk 'aku jadi fasilitator!!!'. Kapsyen gambar ini: 'wajah-wajah adik-adik peserta dan fasi yang riang'.)