Tanah Airku Sesudah Rabu, 9 Mei 2018

Tanah Airku Sesudah Rabu, 9 Mei 2018
Wawasan 2020 menjadi kenyataan. Alhamdulillah. Terima kasih Tun. Tahniah Malaysia.

mohdnajibrazak@myemail.my

Isnin, April 25, 2011

| | |


--------------------------------------
TERKINI

Blog rocky's bru pada 28 April 2011 melaporkan bahawa syarikat pemenang konsesi projek e-mel 1Malaysia, Tricubes Berhad, mendapat wang sebanyak RM5.3 juta untuk memulakan projek tersebut daripada Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP).

MAVCAP ialah syarikat milik penuh Minister of Finance Incorporated dengan modal sumbangan Kerajaan sebanyak RM970 juta. Wang sebanyak RM970 juta itu datangnya daripada Perbendaharaan. Wang dalam Perbendaharaan adalah wang rakyat. Public money!

Ini bermakna Tricubes Berhad menggunakan wang milik rakyat yang dilaburkan dalam Minister of Finance Incorporated bagi memulakan projek e-mel 1Malaysia itu.

Bukankah hakikat ini bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri: ... 'No public money is involved ...' ?
------------------------------------------------------------

"Before I sleep, let me clarify that the 1Malaysia E Mail is a private sector project. No public money is involved n entirely voluntary."
Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak terpaksa membuat kenyataan di atas pada awal pagi 20 April 2011 setelah menyedari kekeliruan orang ramai berkenaan projek e-mel 1Malaysia yang beliau baru umumkan.

Projek e-mel 1Malaysia itu merupakan salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) kluster prasarana dan perisian komunikasi.

Semenjak itu soalan berkenaan projek e-mel tersebut mengekori Perdana Menteri ke mana-mana sahaja beliau pergi kerana rakyat ingin tahu sama ada wang dalam Perbendaharaan Malaysia akan dibelanjakan bagi membiayainya.

Perasaan ingin tahun rakyat itu ada kewajarannya. Pertamanya, akhir-akhir ini, Perdana Menteri sering mengumumkan projek yang kata beliau "untuk rakyat". Semua projek yang beliau umumkan itu, sama ada projek membaiki bumbung robek rumah rakyat termiskin mahupun mengganti bumbung Parlimen, sama ada pengumuman itu di dewan orang ramai mahupun di Dewan Rakyat, semuanya melibatkan sejumlah wang dalam Perbendaharaan.

Keduanya, semenjak 1Malaysia menjadi jenama pentadbiran Dato' Sri Mohd. Najib, banyak pihak, terutamanya para peniaga, mempertalikan apa-apa jua 'idea kaut untung cepat' mereka dengan jenama 1Malaysia, termasuklah e-mel 1Malaysia. Jadi timbul keraguan dalam hati rakyat berkenaan sesuatu inisiatif pihak tertentu swasta bukan GLC tetapi diumumkan oleh Perdana Menteri.

Ketiganya, cakap pegawai Kerajaan tidak sama dengan cakap Perdana Menteri selaku ketua Kerajaan. Perdana Menteri berkata tiada wang awam akan digunakan dalam projek e-mel 1Malaysia. Sebaliknya Pengarah PEMANDU, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata jabatan Kerajaan akan melanggani projek e-mel tersebut yang kira-kira kosnya 50 sen bagi setiap e-mel.

[Sebanyak 18 juta penduduk Malaysia berada dalam kelompok umur bekerja. Ambil setengah daripadanya, sembilan juta. Tolak setengah lagi, lima juta. Setengah daripada lima juta itu secara sukarela membuka akaun e-mel 1Malaysia: 2.5 juta e-mel. Untuk berkomunikasi sekali setahun dengan 2.5 juta pemegang akaun e-mel 1Malaysia itu, Kerajaan akan membayar kepada pemegang konsesi sebanyak RM1.25 juta ( 50 sen x 2.5 juta).]

Wang siapakah yang akan digunakan oleh jabatan-jabatan Kerajaan tersebut kalau bukan wang awam?

[CONTOH: Pada tahun 2010, transaksi dalam talian satu jabatan Kerajaan, Jabatan Pendaftaran Negara, berjumlah 2.3 juta. Dengan menggunakan e-mel 1Malaysia sebagai saluran transaksi, JPN akan berbelanja sebanyak RM1.15 juta.]

Keempatnya, walaupun membuka akaun e-mel tersebut adalah secara sukarela, bagaimanakah sekiranya jabatan-jabatan Kerajaan menetapkan supaya orang ramai hanya boleh berhubung dengan mereka melalui e-mel 1Malaysia sahaja? Ini bermakna membuka akaun e-mel 1Malaysia bukan lagi tindakan sukarela tetapi terpaksa suka!

Kelimanya, penggunaan saluran digital tidak selalunya percuma. Misalnya menyimpan wang dalam akaun Lembaga Tabung Haji menerusi e-perbankan dikenakan caj sebanyak RM1.50, tidak termasuk caj giro oleh bank. Demikian juga apabila pengguna membeli tiket Air Asia secara dalam talian dengan menggunakan kad kredit. Syarikat itu mengenakan 'convenience fee' sebanyak RM8 sehala seorang!

Keenam, siapakah yang akan menjamin bahawa syarikat pemegang konsesi e-mel 1Malaysia tidak akan mengenakan caj kepada rakyat Malaysia yang membuka akaun e-mel secara sukarela itu? Akaun asas memang percuma.

Syarikat pemegang konsesi akan mewujudkan akaun bertambah nilai dengan pelbagai nama - akaun primier, akaun superprimier dan seumpamanya. Siapakah yang bertanggungjawab menetapkan had nilai akses perkhidmatan akaun asas itu? Amalan sekarang, had nilai akses perkhidmatan sesuatu akaun e-mel terserah mutlak kepada pembekal akaun e-mel berkenaan. Pengguna tiada hak bersuara!

Ketujuh, akaun e-mel rakyat Malaysia akan menjadi komoditi yang boleh dijual oleh pemegang konsesi kepada syarikat yang berhasrat mengiklankan produk atau perkhidmatan mereka. Perkara ini menjadi amalan hos e-mel sedia ada seperti Google, Yahoo dan seumpamanya. Demikian juga institusi kewangan yang membekalkan akaun kad kredit.

Siapakah yang akan menjamin bahawa maklumat peribadi pemegang akaun e-mel 1Malaysia tidak akan dijual oleh pemegang konsesi?

Sekiranya hak pemegang akaun e-mel 1Malaysia itu, yakni maklumat peribadinya, dijual oleh pemegang konsesi, apakah sebahagian daripada hasil jualan tersebut akan dibayar kepada pemilik maklumat tersebut? Terdapatkah undang-undang yang menjamin hak-hak pemegang akaun e-mel 1Malaysia?