2021

2021
DARURAT COVID-19

MENUMPANG DI NEGERI SENDIRI

Isnin, Ogos 11, 2008

| | |
"Hari ini pun kita sedang melihat bagaimana orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercempera dan umumnya hilang haluan.

Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang."


Demikian catatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam laman blog Dr.Mahathir Mohamad pada 11 Ogos 2008.

Catatan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu menyentuh dan memilukan perasaan saya.

Lebih memilukan perasaan saya ialah peranan dasar pelajaran pada masa ini yang menghalang anak-anak bangsa Melayu di sekolah rendah dan sekolah menengah daripada mengenali, mempelajari, memahami dan menguasai asas-asas ilmu sains dan asas-asas ilmu matematik dengan menggunakan bahasa benak dan bahasa otak mereka sendiri iaitu bahasa Melayu.

(Rujukan: SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 11/2002 KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA)

Bagaimanakah mungkin anak-anak bangsa Melayu dapat membesar sebagai ahli profesional dalam bidang-bidang yang berasaskan sains dan matematik sekiranya mereka gagal mencerna ke dasar benak dan memancang ke dalam lipatan otak mereka unsur-unsur yang paling asas dalam ilmu sains dan matematik kerana ilmu-ilmu tersebut telah dihadapkan kepada mereka dalam bahasa yang asing kepada benak dan otak mereka?

Bagaimanakah mungkin anak-anak bangsa Melayu akan bersaing dengan anak-anak bangsa Jerman, bangsa Jepun, bangsa Korea, bangsa China, bangsa Portugis, bangsa Perancis, bangsa Sepanyol, bangsa Parsi, bangsa Iraq, bangsa Belanda, bangsa Rusia dan bangsa Inggeris yang telah mengenali, mempelajari dan memahami asas-asas ilmu sains dan ilmu matematik dengan menggunakan bahasa benak dan bahasa otak mereka sejak mereka berupaya mendengar siulan burung dan melihat warna bunga?

Sesungguhnya kepiluan ini menjadi rasa pedih bagaikan luka disimbah cuka kerana dasar pelajaran yang menghalang penguasaan anak-anak bangsa Melayu terhadap asas-asas ilmu sains dan ilmu matematik itu digubal dan dikuatkuasakan oleh kerajaan yang ditunjangi oleh pemimpin bangsa Melayu sendiri, yang mendapat kuasa memerintah negara dari kesetiaan orang-orang Melayu yang mengundi mereka, yang percaya dan yakin dengan kemerduan slogan ‘tradisi membela rakyat’yang dicanangkan pada setiap musim pilihanraya.

Pada gegendang telinga orang Melayu, slogan ‘tradisi membela rakyat’ berbunyi ‘tradisi membela Melayu’.

Kepedihan ini amat memeritkan, bagaikan luka disapu garam, kerana dasar pelajaran yang menghalang penguasaan anak-anak bangsa Melayu terhadap asas-asas ilmu sains dan ilmu matematik itu digubal dan ditegakkan oleh pemimpin parti orang Melayu, parti UMNO — Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu — parti yang telah saya curahkan segala rasa setia, parti yang telah saya sumbangkan segala daya, parti yang telah saya serahkan segala upaya.

Barangkali demikianlah nasib orang yang menumpang di negeri sendiri!